Tidak logik jika Pakatan Harapan masih berharap untuk bersama BN bagi mengekalkan Kerajaan Madani untuk penggal kedua nanti.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Wawasan Negara Hamzah Zainuddin dan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin telah berpeluk erat tertawa mesra meraikan kemenangan mengalahkan Aminuddin Harun dan Anthony Loke pada PRN Negeri Sembilan malam tadi dengan laungan takbir.
Presiden PAS, Hadi Awang pula memberi komitmen gelombang pakatan baharu ini akan mengambil alih Putrajaya.
Seperti tidak sabar, Harakahdaily dalam beritanya melaporkan kemenangan PRN Negeri Sembilan dengan bangganya meletak gambar Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berlatarbelakang bangunan Perdana Putra pejabat Perdana Menteri Malaysia.

Juga tidak logik jika PH akan bertukar menjadi gerakan ultra Melayu Islam demi memujuk rakyat. Pemimpin Umno pun tahu bahawa DAP bukan anti Melayu dan Islam, cuma sentimen ini gagal ditangkis oleh PH.
Sepanjang dalam Kerajaan Perpaduan, Zahid Hamidi selaku presiden Umno dan juga Asyraf Wajidi mengakui prestasi PH menjaga orang Melayu dan Islam jauh lebih baik berbanding pentadbiran sebelum ini.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga pernah mengaku bahawa menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP hanyalah propaganda politik.
BN telahpun buktikan tidak ada kawan dan lawan yang kekal di dalam politik. Pintu merebut kuasa kini terbuka, dengan pelbagai kaedah.

Tidak logik jika BN tidak bersedia untuk dipecat dari kabinet hasil banyak keceluparan mulut semasa berkempen tempoh hari. Tidak logik juga jika ahli jemaah menteri Kerajaan Madani akan bersemuka senyum seperti biasa dan mempunyai semangat untuk meneruskan agenda Madani.
Lagipun melihat siaran langsung pengiraan undi pos semalam amat ‘mengerikan’.
Seolah-olah penjawat awam memberi mesej, terima kasih Madani naikkan gaji tetapi kami tak undi PH.
Tetapi yang menarik BN tidak berani berjuang solo di Negeri Sembilan. Mujur mereka menerima realiti, tanpa PN, PH sukar untuk dikalahkan. Lagipun DAP masih penyumbang terbesar 11 kerusi PH di Negeri Sembilan.

Melihat semangat PN dan komitmen yang diberikan, tidak logik jika BN tidak berani meletakkan jawatan dari kabinet dan seterusnya membuat usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim ataupun untuk lebih memalukan PMX, melanggar perjanjian Kerajaan Perpaduan dengan tidak menyokong bajet 2027 nanti.
Mungkin BN terinspirasi apa yang berlaku baru-baru ini di United Kingdom (UK), perdana menteri terbaharu dilantik menjadikannya yang keenam dalam tempoh 10 tahun. Akibatnya UK kini dalam krisis ekonomi yang meruncing.
Presiden PAS pula seharusnya berbangga hasratnya tercapai lebih-lebih lagi tulisan Hadi Awang di bulan Mac yang lalu agak keras menyindir Umno. Hadi Awang menulis:
“Apabila Umno menerima syarat-syarat British, khususnya prinsip jus soli dan perkara lain yang dilihat memberi kesan negatif terhadap Islam, Melayu dan bumiputera, maka beberapa kumpulan parti politik dan NGO keluar daripada Umno.”

“Akhirnya, Umno mula dijangkiti penyakit gila kepada harta dan jawatan.
“Amalan politik wang dan rasuah semakin berleluasa, sehingga membarah dalam pemilihan kepimpinan parti. Lalu akhirnya, Umno kecundang dalam pilihan raya umum yang mutakhir,” tulis Abdul Hadi.
Mungkin sindiran ini membuatkan Zahid Hamidi tidak tidur malam, cuma tak logik, setelah disindir 'UM-DAP' sepatutya Umno melawan PN tetapi memilih untuk melawan PH yang telah terbukti rakan yang baik dan penuh toleransi.
Mungkin PAS pun sama perangai dengan Umno yang Hadi Awang pernah katakan gila kepada harta dan jawatan.

Dengan gelombang biru yang sedang kuat ini sudah pasti BN yakin jikalau pun Madani mengambil langkah drastik seperti contoh:
1. Menaikkan kuota Budi Madani
2. Mengurangkan kesesakan di plaza tol
3. Memansuhkan e-invoicing dan cukai yang membebankan
4. Menghantar pulang warga Rohingya dan PATI yang lain.
5. Menyelesaikan isu tiada atau kehilangan pekerjaan
6. Tarif elektrik
7. Dakwa dan sumbat ke penjara para koruptor dengan segera.
8. Isu dalaman PDRM dan ATM.
Madani masih tidak dapat mengambil hati rakyat. Bagi BN, Madani adalah sebuah bahtera yang mula bocor menanti karam.
BN mesti meyakinkan rakan-rakan di Sarawak dan Sabah, sebelum mereka bertekad masih setia bersama Madani.

Berubah sokongan dan pendirian ini telahpun GPS buat semasa awal pembentukan kerajaan Perpaduan dulu, daripada PN bertukar ke PH.
Perebutan kuasa di Malaysia kembali hangat dalam keadaan situasi politik dunia menuju ke perang besar.
Logik, Anwar bubar parlimen sekarang?
Logiknya rakyat Malaysia harus bersyukur dengan keamanan dan kestabilan politik yang dinikmati kini, tetapi apakan daya mungkin ada pemimpin atau para kroni koruptor dalam ketakutan, mungkin ada tertekan dengan gerak kerja Madani yang ingin melaksanakan reformasi atau mungkin saja ada desakan dari anasir luar yang tidak suka kemesraan Madani dengan gerakan Muqawwamah melawan Israel.
Jadi rakyat dihasut dengan menggunakan sentimen perkauman, fitnah dan menipu fakta membodohkan rakyat.
Tidak logik juga jika Anwar akan membubarkan parlimen dalam masa terdekat kerana masih punya waktu setahun lebih lagi.
Juga masih ada waktu bagi beliau dan PH untuk memujuk rakyat.
Mungkin kini sudah ada rakyat yang dulunya bosan dengan PH dan kini mulai meluat. Di peringkat meluat insya Allah masih berpeluang untuk memujuk, tetapi jika sudah benci, segalanya sudah terlambat.
LUQMAN HISYAM ialah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
