Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Kelantan perlukan rakan progresif, bukan pembangkang baru

ULASAN | Kelantan merupakan antara negeri yang mempunyai landskap politik paling stabil di Malaysia. Selama lebih tiga dekad, PAS berjaya membina kepercayaan rakyat melalui akar umbi yang kukuh, kepimpinan yang konsisten dan identiti politik yang jelas.

Sama ada disukai atau tidak, hakikatnya rakyat Kelantan memberikan mandat yang berulang kali kepada PAS untuk mentadbir negeri.

Realitinya, sukar untuk membayangkan ada mana-mana parti mampu menggugat dominasi tersebut dalam masa terdekat.

Persoalannya bukan lagi "siapa akan mengambil alih Kelantan?", tetapi "bagaimana Kelantan boleh menjadi lebih baik tanpa menjejaskan kestabilan politik yang telah dipilih oleh rakyat?"

Di sinilah politik Malaysia memerlukan cara berfikir yang lebih matang.

Tidak semua parti perlu diwujudkan semata-mata untuk menumbangkan parti yang memerintah. Dalam banyak negara demokrasi, parti-parti yang berbeza ideologi memilih untuk bekerjasama apabila terdapat titik persamaan dalam agenda pentadbiran.

Matlamatnya bukan mengorbankan prinsip, tetapi menggabungkan kekuatan bagi menghasilkan dasar yang lebih baik.

Kelantan juga boleh bergerak ke arah politik sedemikian yang lebih sejahtera dan inklusif bersesuaian dengan arus perdana politik hari ini.

PAS Kelantan ada kekuatan

PAS tidak semestinya memerlukan sebuah lagi parti yang mahu menggantikan kedudukannya di Kelantan.

Sebaliknya, PAS boleh mempertimbangkan sebuah parti yang melengkapi kekuatan sedia ada terutamanya dalam bidang yang semakin menentukan masa depan negeri seperti ekonomi digital, inovasi, pembangunan belia, teknologi dan pembaharuan tadbir urus.

Dalam konteks ini, Muda mempunyai ruang yang menarik.

Muda merupakan parti yang berteraskan demokrasi sosial dan menekankan pembinaan negara kebajikan berasaskan kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi yang lebih adil, pendidikan berkualiti, tadbir urus yang telus dan pembangunan modal insan.

Nilai-nilai ini selari dengan aspirasi masyarakat Kelantan yang sentiasa menitikberatkan kebajikan, integriti dan pembangunan komuniti.

Perbezaan utama hanyalah pendekatan dan keberkesanan perlaksanaan dalam proses menterjemahkan dasar-dasar agar berfungsi pada tahap optimum.

PAS membawa kekuatan dari sudut legitimasi politik Melayu-Islam, jaringan akar umbi, institusi sosial dan kestabilan pentadbiran negeri.

Muda pula membawa kekuatan dalam memahami ekonomi baru, kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, keusahawanan belia, inovasi sektor awam serta reformasi institusi yang diperlukan untuk menjadikan kerajaan lebih cekap dan responsif.

Kedua-dua kekuatan ini sebenarnya boleh saling melengkapi, bukannya saling menafikan.

Politik Malaysia hari ini terlalu banyak dihabiskan dengan perdebatan identiti. Hampir setiap pilihan raya dipenuhi persoalan siapa lebih Melayu, siapa lebih Islam, siapa lebih nasionalis atau siapa lebih liberal.

Sedangkan rakyat semakin berdepan persoalan yang jauh lebih mendesak.

Bina kerjaya di luar

Bagaimana hendak mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk anak muda Kelantan? Bagaimana mahu mengurangkan penghijrahan graduan ke Lembah Klang?

Bagaimana menarik pelaburan yang mencipta nilai tambah, bukan sekadar pekerjaan bergaji rendah?

Bagaimana memodenkan sektor pertanian, perusahaan kecil dan pelancongan supaya mampu bersaing dalam ekonomi digital?

Apakah perancangan kerajaan negeri dalam menyelaraskan pembinaan infrastruktur dan pelan integrasi pengangkutan awam ketika ECRL dan Lapangan Terbang Antarabangsa sudah mula beroperasi?

Inilah persoalan yang sepatutnya mendominasi politik hari ini.

Sebuah parti progresif tidak semestinya menjadi ancaman kepada kerajaan. Sebaliknya, ia boleh menjadi pemangkin kepada idea-idea baru yang membantu kerajaan menghasilkan dasar yang lebih baik.

Dalam dunia yang semakin kompleks, kerajaan juga memerlukan rakan yang mampu membawa kepakaran dalam bidang teknologi, data, inovasi, ekonomi hijau, pembangunan bakat dan pembaharuan pentadbiran.

Kelantan mempunyai ramai anak muda yang berbakat dalam pelbagai bidang profesional, teknologi, kejuruteraan dan keusahawanan.

Malangnya, terlalu ramai daripada mereka membina kerjaya di luar negeri kerana peluang ekonomi tempatan masih terhad.

Jika Kelantan benar-benar mahu mengekalkan bakat terbaiknya, politik juga perlu berubah daripada sekadar mempertahankan identiti kepada upaya membina daya saing.

Muda berpotensi menjadi jambatan kepada kelompok ini. Muda lebih dekat dengan aspirasi generasi muda yang mahukan kerajaan yang cekap, dasar yang berasaskan bukti dan ekonomi yang memberi ruang kepada inovasi serta mobiliti sosial.

Seni membina pelangkap

Ini bukan soal menukar identiti Kelantan. Ini soal menambah nilai kepada pentadbiran yang sedia ada.

Sebahagian pihak mungkin melihat idea kerjasama antara sebuah parti Islam dan sebuah parti progresif sebagai sesuatu yang mustahil. Namun sejarah politik dunia menunjukkan kerajaan yang berjaya sering dibina melalui gabungan kekuatan yang berbeza, selagi terdapat persamaan dalam matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Politik yang matang bukan bermaksud semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara. Politik yang matang ialah apabila parti-parti yang berbeza mampu mengenal pasti ruang kerjasama demi kepentingan rakyat.

Kelantan tidak kekurangan kestabilan politik. Apa yang diperlukan sekarang ialah kepelbagaian idea.

PAS mempunyai kekuatan untuk terus memimpin negeri.

Tetapi kepimpinan yang kuat juga memerlukan rakan yang mampu membawa perspektif baru, kepakaran baru dan penyelesaian baru kepada cabaran masa depan.

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti melihat setiap parti sebagai musuh yang mesti ditewaskan.

Sebaliknya, kita mula melihat politik sebagai seni membina pelengkap kepada kekuatan yang telah sedia ada. Kerana pada akhirnya, rakyat tidak mengundi untuk melihat parti menang.

Rakyat mengundi untuk melihat negeri mereka terus berdaya saing.


ABDUL RAHMAN KHAIRUDDIN ialah Pengerusi Muda Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS