Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT| Kenapa komunikasi Madani perlu reformasi lepas PRN NS?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah melabuh tirai dan keputusannya juga telah diketahui. Ada pihak yang gembira dan ada yang hampa namun itulah hakikatnya demokrasi.

Rakyat Negeri Sembilan telah membuat keputusan kali ini dengan memilih gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH).

Banyak pihak dalam PH melihat kegagalan mereka dalam mempertahankan kuasa di Negeri Sembilan adalah disebabkan pendekatan politik identiti yang dimainkan oleh PN.

Dari hanya menuding kepada pihak lawan, PH yang memegang kuasa sebagai kerajaan persekutuan harus melihat kelemahan yang ada pada mereka sendiri. Salah satunya ialah kegagalan menguruskan persepsi dan kelemahan komunikasi sebelum dan sewaktu mereka memasuki PRN Negeri Sembilan.

PH masuk dalam kempen PRN Negeri Sembilan sebagai parti yang memerintah di persekutuan dan negeri. PH dilihat membawa modal politik prestasi dan pencapaian kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sebelum pembubaran dewan undangan negeri.

Mereka hanya menjual pencapaian-pencapaian tersebut kepada bakal pengundi tanpa diolah dengan naratif yang sesuai. Situasi ini meletakkan PH di posisi bertahan dan tidak mampu untuk menyerang.

Dalam landskap politik hari ini, menjual prestasi semata-mata tidak lagi menjamin sokongan. Dalam membentuk pandangan masyarakat, persepsi sering kali mampu mengalahkan prestasi.

Jika persepsi gagal diurus dengan baik, pencapaian yang besar sekali pun boleh tenggelam di sebalik naratif yang lebih pantas tersebar di media sosial.

Di sinilah peranan komunikasi yang berkesan memainkan peranan penting. PH dilihat lemah dalam komunikasi walaupun mereka mempunyai kelebihan sebagai kerajaan. Entah di mana silapnya PH dilihat seolah tidak tahu memanfaatkan kelebihan yang mereka ada.

Sama ada PH mahu mengakui ataupun tidak, tetapi inilah realiti yang sedang mereka hadapi. Realiti politik hari ini jauh berbeza berbanding sedekad lalu.

Dahulu, parti politik hanya bertarung ketika musim pilihan raya. Hari ini, pertandingan berlaku setiap hari di media sosial tanpa henti. Setiap isu, kenyataan, video pendek dan gambar mampu membentuk persepsi dalam masa beberapa minit.

Sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan, media sosial menjadi medan utama penyebaran maklumat dan perdebatan politik secara terbuka.

Hakikat ini menunjukkan bahawa perang politik pada hari ini bukan lagi sekadar mengenai siapa mempunyai dasar dan pencapaian terbaik, tetapi siapa yang lebih pantas membina persepsi. Di sinilah pihak PH selaku kerajaan perlu sedar jika mereka mahu mengekalkan kuasa pada penggal seterusnya.

Tidak dinafikan pelbagai dasar telah diperkenalkan bagi menangani kos sara hidup, menarik pelaburan, pengukuhan nilai mata wang, keselamatan sosial dan pelbagai lagi. Namun, banyak dasar tersebut gagal menjadi topik utama perbualan rakyat. Di sinilah jentera komunikasi PH mahupun kerajaan perlu mencari solusinya.

Dasar-dasar yang ada walaupun baik namun akan kelihatan gagal sekiranya kerajaan gagal membina persepsi politik yang berkesan terhadap dasar tersebut.

Kerajaan dilihat masih belum benar-benar menyesuaikan diri dengan perubahan landskap komunikasi. Ramai pemimpin dari pihak kerajaan melihat komunikasi hanya sekadar proses menyampaikan kenyataan media atau mengadakan sidang akhbar.

Sedangkan pengguna media sosial hari ini mahukan maklumat yang pantas, ringkas, mudah difahami dan relevan dengan kehidupan mereka.

Apabila sesuatu isu menjadi tular pada waktu pagi tetapi penjelasan rasmi hanya muncul pada sebelah malam atau keesokannya, kerajaan sebenarnya telah kehilangan peluang untuk membentuk persepsi awal. Dalam komunikasi politik, persepsi pertama selalunya lebih mudah diterima dan sukar diubah walaupun fakta sebenar akhirnya didedahkan.

Contohnya seperti isu Tabung Haji, walaupun kerajaan telah mendedahkan maklumat rasmi kandungan Suruhanjaya Siasatan Diraja RCI berkenaan isu tersebut, namun rakyat seakan tidak mahu mengendahkan kerana persepsi berkenaan isu Tabung Haji telah terbina sekian lama.

Kerajaan tidak boleh bergantung kepada penyokong setia mereka sahaja dalam menyampaikan secara pro bono berkenaan dasar-dasar kerajaan.

Setiap kementerian dan agensi perlu mempunyai keupayaan komunikasi yang lebih profesional, berkesan dan mengikut peredaran zaman. Rakyat tidak mahu mendengar kenyataan yang bercanggah daripada pelbagai pihak mengenai isu yang sama.

Selain itu, komunikasi kerajaan tidak seharusnya bersifat defensif semata-mata. Terlalu banyak masa dihabiskan untuk menafikan dakwaan lawan politik sehingga kerajaan terlupa membina naratifnya sendiri.

Sedangkan rakyat lebih ingin mengetahui bagaimana sesuatu dasar memberi manfaat kepada mereka. Pembuktian dan keberkesanan sesuatu dasar itu perlu disampaikan dengan cepat, kreatif dan berkesan.

Bukan dengan cara menulis karangan berjela-jela panjang dan podcast syok sendiri seperti yang gemar dilakukan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sebelum ini.

Hakikatnya, kerajaan mempunyai banyak kisah yang boleh diketengahkan. Namun kisah-kisah ini sering tenggelam kerana disampaikan dalam bentuk yang kurang menarik atau terlalu teknikal.

Dalam era TikTok dan video pendek, cara penyampaian hampir sama penting dengan kandungan yang ingin disampaikan. Kerajaan perlu belajar menyampaikan fakta dengan lebih kreatif, mudah difahami dan dekat dengan pengalaman harian rakyat. Komunikasi yang baik bukan bermaksud memanipulasi persepsi, tetapi memastikan fakta tidak kalah kepada maklumat yang mengelirukan.

PRN Negeri Sembilan wajar dijadikan titik perubahan dalam komunikasi kerajaan. Apa sahaja keputusan yang diperoleh oleh setiap parti, mesej yang paling jelas ialah politik Malaysia telah memasuki era baharu.

Rakyat menilai bukan sahaja apa yang kerajaan lakukan, tetapi juga bagaimana kerajaan menjelaskan apa yang telah dilakukannya.

Menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, persaingan bukan sekadar tentang manifesto atau calon. Ia juga ditentukan oleh keupayaan membina keyakinan rakyat setiap hari melalui komunikasi yang konsisten, pantas dan berkesan. Dalam dunia digital, kemenangan persepsi menentukan sama ada mandat itu akan terus dipertahankan atau akhirnya hilang apabila rakyat kembali membuat pilihan.


MOHD ZAMIRUL MOHD DZAKI merupakan pensyarah Pengajian Umum, Pusat Pengajian Bahasa dan Komunikasi, UOW Malaysia KDU Penang University College.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS