Sebagaimana timbul kesangsian dan kebimbangan di kalangan sesetengah ahli serta penyokong parti Keadilan, begitu jugalah yang terbuku di dada kami, pendukung Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Bukan setahun dua PRM bersuara memperjuangkan nasib rakyat. PRM telah puluhan tahun memperjuangkan nasib rakyat marhaen dari zaman Ahmad Boestamam terus kepada golongan miskin, peneroka bandar mahupun desa, pekerja dan peniaga, malah mana-mana golongan yang tertindas pada hari ini.

Pada masa yang sama parti ini juga dikenali sebagai parti yang sering lantang menentang penguasaan kuasa besar asing sama ada yang digelar neo-imperialis, neo-kolonialis, IMF, WTO mahupun penyangak matawang yang cuma kini baru terhidu baunya oleh pemimpin ber'wawasan' bernama Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Sebagai sebuah parti yang berjuang bagi mendapatkan kesejahteraan dan keseimbangan dalam masyarakat Malaysia sudah tentu kami mengalu-alukan kehadiran parti kawan bagi bergandingan dalam perjuangan melalui Barisan Alternatif.

Seterusnya setelah bergandingan, timbul pula usul bahawa ada baiknya jika PRM dan Keadilan yang mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa dan tekad yang hampir sama bergabung tenaga di bawah satu lambang bagi meneruskan perjuangan yang ikhlas ini. Penggabungan ini bermakna kedua-dua parti membentuk suatu badan baru yang mengambil ciri-ciri yang baik dan kukuh yang terdapat dalam parti masing-masing.

Keadilan tidak dapat dinafikan kehebatannya mendapat sokongan ribuan rakyat memperjuangkan agenda reformasi manakala PRM pula, dengan sejarahnya yang tidak pernah terganjak dan terpesong dari memperjuangkan matlamat rakyat, mempunyai kepimpinan ikhlas serta tahan diuji sehingga ramai yang telah dilontar ke dalam tahanan akibat korban perjuangan. Ia juga mendapat sokongan daripada sebahagian masyarakat yang masih curiga akan pegangan dan pendirian Keadilan akan tetapi ingin bersama-sama berjuang menentang ketidakadilan serta kezaliman yang berlaku dewasa ini.

Sungguhpun PRM kecil dan dipandang lekeh oleh sesetengah pihak, kawan mahu pun lawan, kami tidak pernah berganjak dari mendukung perjuangan. Memang kami pernah memiliki nama serta ideologi sosialis di dalam parti. Tetapi, kami telah membawa perubahan kira-kira 10 tahun yang lalu dengan meminda perlembagaan berhubung perkara ini. Tujuannya ialah untuk meluaskan lagi perjuangan parti bagi memperjuangkan nasib seluruh masyarakat terutamanya golongan yang tertekan.

Kesejahteraan rakyat seharusnya tidak terikat hanya kepada satu ideologi. Kesejahteraan serta perjuangan rakyat harus melampaui segala batasan agama, bangsa, ideologi serta kedudukan.

Kesejahteraan negara perlu dapat dikecapi oleh seluruh peringkat masyarakat Malaysia dan bukannya dinikmati oleh mereka yang mempunyai ikatan dengan pemerintah saja.

Namun demikian ada pihak yang cuba menanamkan bibit perpecahan dengan mengaitkan PRM dengan sosialisme dan menuduhnya sebagai parti yang tidak berpegang kepada agama. Malang sekali jika tuduhan-tuduhan yang tidak berasas yang ditabur oleh pihak musuh ini diterima malah diulang-ulang pula lagi di kalangan rakan sendiri.

Ya, suka atau tidak, sebagaimana PRM selalu dituduh sebagai parti sosialis, begitu juga Keadilan sering dilontar dengan tohmahan bahawa ia hanya memperjuangkan kebebasan untuk bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim.

Masyarakat juga sering mengaitkan Keadilan dengan Semangat 46 yang mana ahli-ahlinya pernah meludah Umno dan akhirnya menjilat ludah kembali. Alasannya ialah sebelum Anwar dicampak ke dalam penjara di manakah mereka ini. Mereka ingin tahu jika Anwar dibebaskan di manakah arah perjuangan Keadilan nanti.

Keadilan juga sering dihantui tohmahan sanggup menjual maruah negara akibat dari perang saraf yang sengaja diulang-ulang oleh pihak pemerintah.

Dengan penggabungan antara unsur PRM, yang telah lama memperjuangkan kepentingan rakyat serta menentang pengaruh campur tangan kuasa asing, maka lebih sukar bagi golongan yang ingin melemparkan tohmahan dan menggoncangkan kepercayaan masyarakat terhadap intipati sebenar Keadilan sama ada benar-benar memperjuangkan masyarakat seluruhnya atau sekadar kebebasan seorang insan bernama Anwar Ibrahim.

Saudara Abu Taufiq Ismail tentunya tidak menulis sekadar hanya melepas rasa ([#1] Bubarkan PRM! [/#], 7 April). Pasti beliau menulis atas dasar rasa cinta dan pegangan yang kukuh kepada perjuangan sebenar Keadilan.

Tetapi masih ramai yang memerlukan kepastian tentang perjuangan Keadilan. Kami berharap, penyertaan pimpinan serta ahli PRM yang sekian lama berjuang ke arah tersebut akan dapat memberikan sokongan yang padu bagi membuktikan pendirian ini.

Sebagaimana penulis punya rasa cinta, kasih dan sayang kepada lambang dan struktur parti, begitu juga kami di sebelah PRM.

Bukan mudah bagi kami hendak meninggalkan rumah yang telah lama kami diami. Rumah pusaka yang sama-sama kami dirikan atas titik peluh, kudrat serta perjuangan dan pengorbanan ribuan pejuang yang masih ada lagi bersama kami ataupun yang telah pergi.

Bukan kami pohon diiringi kompang dan bunga manggar bagi setiap langkah kami mendekati Keadilan. Bukan kami minta sambut-sambutan dan keraian kehadiran kami. Perjuangan kami ikhlas sebagai sebahagian tanggungjawab serta fardu kifayah kami terhadap masyarakat.

Pendirian kami bagi mengekalkan perkataan 'rakyat' dalam nama parti sebagai peneguh mengingatkan asas perjuangan kami, perjuangan bagi rakyat. Permintaan secolet warna merah sekadar bagi melambangkan dan mengingatkan kami tentang asas perjuangan akar umbi kami. Merah sebagai lambang pengorbanan, kecekalan dan keikhlasan; lambang perjuangan kami.

Sungguhpun demikian itu cuma merupakan sebahagian daripada pegangan kami. Terdapat proses yang perlu dilalui dalam usaha mencapai penggabungan ini.

Pihak kami diwakili dan bertemu dengan pihak Keadilan yang juga mempunyai wakil sendiri. Kita berjumpa dan berbincang bagi mencapai titik pertemuan, bagi menyetujui mekanisma percantuman Keadilan dan PRM.

Setelah selesai proses perbincangan ini keputusan akan dibawa ke kongres dan mesyuarat agung masing-masing bagi dikaji dan dipertimbangkan oleh para perwakilan. Tidak timbul mana-mana ahli Majlis Tertinggi memandai-mandai membuat keputusan muktamad bagi pihak parti. Pilihan sama ada membubarkan parti atau apa jua keputusan adalah berdasarkan mekanisma yang telah dipersetujui dan perlu diluluskan oleh badan tertinggi parti iaitu semasa Kongres dan bukannya berdasarkan kehendak seorang atau berasaskan cadangan mana-mana pihak tertentu saja.

Mesyuarat agung tahun ini akan menentukan bentuk kerjasama PRM-Keadilan nanti. Mungkin bersama di bawah satu parti, mungkin kekal bergandingan dalam Barisan Alternatif.

Yang penting adalah agenda rakyat, sama ada kita akan terus berusaha memperjuangkan nasib rakyat Malaysia. Tidak kira baik apa nama parti atau apa warna bendera.

Perubahan yang ingin dibentuk bukan sekadar mencapai kemenangan pada 2004, sebaliknya memastikan berlaku perubahan dalam masyarakat agar keadilan, kesaksamaan dan kebahagiaan bersama dapat dikecapi oleh keseluruhan masyarakat Malaysia.

Pandangan ini merupakan pandangan peribadi saya tentang isu penggabungan serta perjuangan.