Langkah Azalina Othman, Ketua Puteri Umno menjemput penyanyi sensasi masa kini Erra Fazira sebagai seorang aktivis dalam Puteri Umno telah mengejutkan banyak pihak.
Ada pihak yang menerima langkah begitu sebagai langkah yang positif yang dapat menarik anak-anak muda untuk menyambung kesinambungan Umno untuk masa depan. Mengikut laporan akhbar, target utama daripada langkah mengambil Erra sebagai bintang Puteri Umno adalah untuk menarik anak-anak remaja, anak-anak muda yang bekerja di kilang dan belia lain yang begitu ghairah dan mempunyai obsesis yang tinggi kepada muzik. Langkah ini diambil bagi membendung kemaraan Barisan Alternatif dalam berjaya menarik ribuan anak muda untuk menyokong perjuangan mereka.
Saya mengkaji perkara ini dari perspektif sosial dan humaniti. Tanpa menafikan obsesi masyarakat kepada muzik dan tanpa muzik manusia akan menjadi sunyi, saya berpendapat bahawa manusia tidak akan menggantikan muzik dengan makanan, rumah serta hak asasi yang lain.
Obsesi manusia terhadap muzik adalah sementara namun apabila harga makanan meningkat, harga rumah meningkat serta hak asasi manusia yang lain terganggu, tidak ada orang yang akan menukarkan muzik dengan perkara seperti itu.
Langkah Azalina itu akan hanya memberi promosi, namun kejayaan untuk mencapai target mereka hanyalah fantasi semata-mata. Perjuangan yang sebenar mestilah berasaskan ideologi dan bukan muzik. Muzik hanyalah halwa telinga dan tidak ada orang yang sanggup mati kerana muzik.
