Politik kepartian sebagai orientasi pelajar
Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya diterima masuk ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Isu yang hangat tentang penghapusan Pusat tersebut akhirnya selesai jua. Pendaftaran pelajar baru sesi 2001/2002 telah pun berakhir setelah semua pelajar menjalani Minggu Orientasi selama hampir enam hari di sana.
Dari sejumlah pelajar Asasi Sains tersebut, anak saya juga telah terpilih menyambung pelajarannya di sana. Bagi saya, minggu suaikenal yang dilaksanakan itu amat penting bagi pelajar yang baru sahaja melangkah ke dunia kampus.
Menurut anak saya yang baru saja selesai menjalani minggu suaikenal tersebut, antara aktiviti yang dibuat adalah seperti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) di mana para pelajar dibahagikan kepada hampir 80 kumpulan dengan dibimbing oleh seorang fasilitator bagi setiap kumpulan. Aktiviti yang dijalankan amat menyoronokkan dan dapat menghilangkan perasaan malu dan 'gap' antara mereka.
Namun, dalam sesi ceramah yang dijalankan, beberapa tajuk ceramah telah diubah kepada tajuk yang lebih menjurus kepada politik kepartian. Ceramah yang mengandungi unsur politik itu telah memburukkan parti politik tertentu yang telah mengelirukan para pelajar. Menurut anak saya lagi, kebanyakan pelajar berasa kurang senang dengan ceramah yang disampaikan yang sepatutnya diisi dengan pengisian ke arah persediaan dan cabaran sebagai seorang siswa di kampus.
Keadaan ini secara terang-terang cuba membancuh minda pelajar yang mungkin dirasakan kurang matang untuk membuat penilaian supaya membenci apa yang dilakukan oleh pihak yang menentang kerajaan. Adakah ini yang mahu dilahirkan oleh Pusat Asasi Sains?
Saya juga merasa tidak senang dengan tindakan tersebut. Pusat Asasi Sains sewajarnya mengambil peluang yang optima bagi membimbing dan menerangkan kepada pelajar cara belajar, motivasi dan peranan serta sumbangan mereka kepada agama, bangsa dan negara. Bukannya mengaburi minda mereka dengan ceramah-ceramah politik begini.
Bukankah kerajaan juga tidak menggalakkan mahasiswa terlibat dengan mana-mana politik kepartian sewaktu menuntut di universiti? Namun apa yang dilakukan semasa minggu orientasi tersebut adalah menyeleweng dari apa yang kerajaan mahukan. Kerajaan sepatutnya adil dan mengotakan apa yang dikata.
Apa yang saya harapkan situasi sebegini tidak akan terus berlaku kepada para pelajar. Saya harap pihak Universiti Malaya dapat memandang serius perkara ini dan menyiasat segala apa yang telah berlaku. Semoga perkara sebegini tidak akan berulang.

