Saya seorang bapa kepada enam anak. Anak sulung saya telah berjaya diterima masuk ke UPM tahun lalu dengan kelulusan STPM. Peluang ini amat bernilai kepada keluarga saya kerana inilah saat manis anak sulung saya berjaya menjejakkan kaki ke menara impian kami sekeluarga.

Pembiayaan pengajian anak saya amat tinggi dan mahu tak mahu memerlukan bantuan pinjaman daripada mana-mana penaja untuk menampung perbelanjaannya di sana kerana pendapatan saya yang sekadar cukup untuk kami sekeluarga.

Jadi, anak saya telah memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menjadi sumber pinjaman kepada hampir semua pelajar sama ada di IPTA atau IPTS. Namun apa yang menjadi tanda tanya adalah bayaran balik yang dikenakan adalah lebih tinggi daripada apa yang dipinjamkan. Melalui apa yang dimaklumkan oleh anak saya, semua pelajar yang meminjam PTPTN terpaksa membayar balik pinjaman tersebut dengan kadar tambahan sebanyak empat peratus daripada baki berkurangan setiap bulan.

Daripada kiraan yang dibuat, ini bermakna seorang pelajar IPTA seperti anak saya yang meminjam hampir RM19,500 sepanjang tempoh pengajiannya di sana terpaksa membayar balik hampir RM23,600, iaitu dengan tambahan sebanyak RM4,100. Ini amat membebankan anak saya dan saya sendiri kerana bayaran balik tersebut akan dikenakan selepas enam bulan beliau tamat pengajian. Kadar empat peratus tersebut didakwa sebagai kos perkhidmatan. Namun, ia tidak dinyatakan dengan jelas dan masih meragukan para pelajar.

Apa peranan kerajaan dalam hal ini? Mengapa kos tersebut perlu ditanggung oleh pelajar bukannya pihak kerajaan? Bukankah PTPTN itu milik kerajaan?

Graduan yang keluar setiap tahun semakin ramai. Bidang kerjaya semakin mendapat persaingan yang sengit dari semua graduan. Yang terpilih bernasib baik, tetapi yang tidak terpilih terpaksa mencari jalan lain bagaimana hendak melangsaikan hutang tersebut. Mana mungkin pinjaman tersebut dapat dilangsaikan dalam tempoh yang begitu singkat. Kalau tidak, kadar bayaran tambahan akan meningkat.

Saya harap pihak kerajaan dapat mengkaji semula tindakan tersebut supaya ia tidak menekan pelajar dan semoga pelajar juga tidak akan terus menekan dan mendesak kerajaan!