Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menunjukkan ketidakmatangan mereka sekali lagi. Sudah banyak kali GPMS membuat 'lawak bodoh' mereka.

Kali ini, mereka menjadikan diri mereka tunggangan pemerintah Barisan Nasional sekali lagi, apabila Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Mohamad, mengeluarkan 'desakan' supaya kerajaan Terengganu yang berada di bawah pemerintahan PAS mengembalikan wang ihsan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada beberapa institusi pendidikan di bawah kelolaan kerajaan negeri.

Sebelum ini, banyak lagi 'lawak bodoh' yang mereka buat, dan yang paling ketara sekali, ialah reaksi mereka ketika isu Suqiu hangat diperdebatkan di dada-dada akhbar harian sekitar penghujung tahun 2000. GPMS mengeluarkan '100 tuntutan' yang dikatakan sebagai satu reaksi kepada 83 rayuan Suqiu. Malangnya, sehingga kini, tiada siapa (kecuali Dr Mahathir Mohamad dan Presiden GPMS) yang tahu isi sebenar 100 tuntutan tersebut. Entahkan wujud, entahkan tidak. Begitu misteri sekali.

Mereka juga kononnya merancang untuk menganjurkan perhimpunan 'ala Malayan Union' di seluruh Semenanjung Malaysia, kononnya untuk membuktikan mereka adalah 'wira orang Melayu'. Yang sedihnya, rancangan mereka itu ditempelak oleh bekas Presiden mereka sendiri, Prof Datuk Dr Fauzi Mohd Basri (Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia) yang menyifatkan tindakan itu seolah-olah 'mahu mencari undi popular'.

Kini, mereka menyuarakan desakan kepada kerajaan negeri Terengganu untuk memulangkan apa yang dinamakan sebagai wang ihsan kepada institusi pendidikan tinggi di Terengganu. Kononnya, wang ihsan tersebut adalah peruntukan untuk pembangunan sektor pendidikan di negeri Terengganu. Secara tidak langsung, mereka menyifatkan kerajaan negeri Terengganu 'merampas hak rakyat' untuk mendapat pendidikan yang lebih sempurna.

Aduh, tidakkah GPMS sedar bahawa peristiwa 'rampasan hak rakyat' yang sebenar ialah apabila Kerajaan Pusat menafikan pembayaran royalti minyak kepada negeri Terengganu? Begitu mudah Kerajaan Pusat mengenepikan perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri Terengganu yang termetrai pada tahun 1978, dan kemudian menamakannya sebagai wang ihsan pula.

Mengapa kezaliman dan penafian hak rakyat Terengganu ini tidak dibantah oleh GPMS? Mengapa ketika Rais Yatim menyatakan bahawa perjanjian yang ditandatangani dahulu sebenarnya satu MoU ( memorandum of understanding ) sahaja, GPMS tidak bangkit 'membela' hak rakyat Terengganu? Mengapa sekarang, apabila kononnya kerajaan negeri Terengganu 'merampas' wang ihsan daripada IPT, mereka bangkit bersuara?

Sudahlah GPMS. Usahlah serahkan belakang kamu untuk menjadi tunggangan kerajaan mungkar BN pula. Kredibiliti kalian di kalangan mahasiswa sudah lama musnah. Usah musnahkan kredibiliti GPMS yang masih berbaki. Itupun kalau masih ada.