Bagaimana ISA terus hidup
Hujah-hujah Fathi Aris Omar dalam membicarakan perihal Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhasil menelanjangkan sikap 'syok sendiri' golongan yang mendakwa diri mereka golongan pro-pembaharuan ([#1] Senarai tahanan ISA semakin panjang? [/#], 19 April). Reben putih mahupun pelekat kereta yang ghairah dipamer sebenarnya kurang membantu, kalaupun tidak berkesan langsung dalam peperangan melawan akta haiwan tersebut.
Akan tetapi, saya sedikit kurang bersetuju apabila penulis mendakwa ISA bakal digunakan sewenang-wenang apabila aktivis reformasi melupainya sepertimana pelanduk melupai jerat. Sebenarnya jerat ISA yang dipasang oleh kerajaan Barisan Nasional adalah jerat semi-automatik yang akan mencari pelanduk tidak kiralah sama ada sang pelanduk ingat atau tidak.
Imej polis yang sedikit meningkat di mata rakyat lewat tragedi Jalan Kelang Lama barangkali menjadi punca mengapa kerajaan tega dalam memperkudakan ISA kali ini. Keberhasilan pihak aparat keamanan menangani kemelut perkauman tersebut membuktikan bahawa sekuat manapun laungan 'anjing kerajaan' dilemparkan, hamba rakyat masih memerlukan pasukan beruniform pada saat-saat di mana kehadiran mereka adalah sangat-sangat diperlukan.
Masyarakat Melayu yang merupakan golongan paling vokal menyuarakan tentangan terhadap ISA dan kecurangan polis sewaktu tercetusnya gelombang reformasi akhirnya terpaksa bertekuk lutut bahawa pasukan polis, mesra atau tidak, adalah sebaik-baik pelindung di waktu cemas.
Sebaliknya, masyarakat bukan Melayu khususnya masyarakat India yang terlibat dalam tragedi berdarah Jalan Kelang Lama adalah sedikit lebih lunak dalam menghadapi persoalan ISA, apatah lagi agenda reformasi. Reformasi bukanlah perkara penting bagi masyarakat bukan Melayu di Malaysia. Pecah-pecah perintah lalu mambutirkan hasil lumayan: Polis akhirnya mendapat sedikit pengiktirafan masyarakat, dan ISA lantas sedia untuk digunakan.
Kerajaan tidak perlu mnunggu lama untuk menuai hasil 'kejayaan' pihak polis. Selepas tangkapan ISA dibuat, pelbagai kenyataan dibuat bahawasanya ISA digunakan atas budi bicara dan bukti-bukti yang diperolehi oleh pihak polis. Rakyat, khususnya penduduk Lembah Kelang yang masih terhutang budi dengan pihak polis lalu akur dengan 'budi bicara' dan 'bukti-bukti' yang diberikan oleh polis. Kecurigaan antara warna kulit memerlukan polis sebagai agen peneutral. Tentulah tidak pantas polis dituduh penipu kali ini!
Sekadar mengagak: saya secara peribadi merasakan bahawa 'Black 14 2001' tidak akan menjadi lebih dari sekadar sebuah lagi episod demonstrasi jalanan sekiranya tiada darah titis di Kampung Medan dan kawasan-kawasan sekitarnya. Tangkapan tentunya akan dilakukan seusai acara penyerahan memorandum dan pertuduhan klasik 'enggan bersurai' akan dibacakan lagi buat kali yang entah keberapa ribu di mahkamah.
Nyatalah bahawa persengketaan kaum telah, sedang dan akan terus membuka peluang buat kerajaan Barisan Nasional menggunakan talian hayat kegemaran mereka: Akta Keselamatan Dalam Negeri.

