Percaturan politik PAS memakan BA
Para pengunjung laman malaysiakini sudah tentunya terkejut apabila membaca laporan ketegangan pehubungan PAS-DAP bertajuk [#1] T'ganu alcohol ban: See you in court, says DAP[/#] (April 12).
Naib Pengerusi DAP Karpal Singh diberitakan tidak menolak kemungkinan DAP menggunakan laluan perundangan untuk mendapat keputusan samada pimpinan PAS Terengganu berhak untuk mengenakan larangan jual-beli dan peminuman minuman keras (alkohol) di khalayak ramai di negeri itu.
Menurut Karpal, peraturan baru ini merupakan satu perlanggaran hak asasi manusia ke atas orang bukan Islam di Terengganu.
Tetapi sayang seribu kali sayang. Karpal, begitu juga pemimpin DAP yang lain, mungkin kerana tamakkan kuasa atau terlalu gah untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional, pemimpin-pemimpin yang dahulunya dihormati ini telah membutakan hati mereka dari melihat realiti.
Kia semua memang tahu niat sebenar PAS dari dulu lagi. Tujuan mereka memang bertentangan dengan ideologi dan manifesto Barisan Alternatif (BA) yang dilaung-laungkan semasa pilihanraya 1999 dahulu, dan mereka tetap tegar dengan keazaman mereka menubuhkan sebuah negara Islam di Malaysia.
Pimpinan DAP dan juga parti-parti sekular lain di dalam pakatan BA - PRM, malah Keadilan juga - telah melakukan satu kesilapan besar apabila mereka berdampingan dengan PAS. Lihat sahaja keputusan pilihanraya 1999 dan kita mendapati pemenang sebenar di pihak pembangkang bukanlah BA tetapi PAS. PAS telah dengan begitu efektif mempergunakan landasan BA untuk menambat hati pengundi, sehinggakan jumlah ahli Parlimen PAS melebihi kesemua jumlah ahli Parlimen parti-parti BA lain. Malah, Kelantan dan Terengganu kini dikuasai PAS, dan bukannya BA.
Tidakkah Karpal dan rakan-rakan PAS di dalam BA sedar bahawa pakatan BA kini dikuasai sebuah parti Islam yang berhujah dan bertindak mengikuti satu lunas yang sungguh bercanggahan dari segi ideologi dan moral?
PAS tidak pernah mengakui yang ia adalah sebuah parti sekular, malah ia dengan terang menolak pemahaman sekular hak asasi manusia. PAS mengikuti satu definisi hak yang dilandaskan kepada ajaran golongan elit mereka, iaitu Ulama. Mereka ini pula merupakan satu badan tidak demokratik yang tidak membenarkan perbincangan atau bangkangan dari rakyat biasa dan orang bukan Islam secara khususnya.
Bayangkanlah peranan apa yang dapat dimainkan oleh pendokong sistem sekular seperti DAP dan PRM jika Parlimen di bawah pemerintahan PAS hanya bertindak sebagai sebuah badan permersyuaratan sahaja?
Keghairahan merebut kuasa dan kebencian kepada kerajaan telah mengakibatkan ahli-ahli BA buta dan alpa kepada perangkap-perangkap yang dipasang PAS yang kononnya sehati sejiwa dengan perjuangan BA.
Siapalah yang akan membazirkan masa mendengar rintihan minoriti orang bukan Islam di Terengganu yang dihimpit buruk sangka dan tekanan PAS.
Tiada gunanya Karpal berbuih air liur di dalam hal ini. Hakikatnya, kerajaan yang berkuasa di sana adalah PAS, dan bukannya BA.
Adalah lebih produktif sekiranya Karpal dan rakan-rakan PAS di dalam BA dapat bangkit dari pukauan ini dan menyedari mereka akan kehilangan segala-galanya jika masih buta kepada percaturan politik PAS yang semakin memakan pakatan BA. Mungkin bukti terbaru kerapuhan pakatan BA ini akan menjadi iktibar kepada DAP dan parti-parti BA lain untuk tidak lagi membabi-buta menyusukan kera di hutan sedangkan anak dibuaian mati kelaparan.

