Rintihan seorang tua
Saya agak terganggu bila melihat gelagat pemimpin kini yang berlagak bongkak, sombong dan tidak lagi menghormati kehendak rakyat jelata. Kalau dahulu kita fikir seseorang pemimpin itu begitu rendah diri, bersopan santun, tinggi budi pekerti, dan lain-lain sifat terpuji, tetapi setelah naik ke puncak singgahsana nampaknya menjadi lebih dahsyat dari pemimpin sebelumnya.
Saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik, kerana cuba untuk lebih liberal dan memahami dua-dua pihak sama ada pemerintah mahu pun pembangkang. Tetapi melihat apa yang berlaku di akhir-akhir ini saya dapati amat sukar untuk menghayati apa yang dilakukan oleh pemerintah dalam kemelut seharian.
Saya dapati tidak semua pembangkang itu anti kerajaaan. Kebanyakan pandangan mereka bernas, dan berguna bagi pemerintah jika mereka cuba renong seketika, dan mempunyai ' open-mindedness ' dalam melaksanakan tugas-tugas.
Tidak semua dakwaan pembangkang itu fitnah, kerana fakta-fakta yang dikemukakan kerapkali telah dikemukakan di mahkamah, atau pun telah melalui proses penyiasatan atau kehakiman.
Disebaliknya terdapat banyak pula amalan-amalan, sama ada dari segi moral mahu pun dari segi perundangan, yang tidak dihiraukan oleh pihak berkuasa cuma kerana mahu mengikut nafsu pemimpin semata-mata.
Banyak pula dakwaan pemimpin yang masih mendabik dada kononnya memberi keistimewaan kepada bumiputera contohnya, tetapi orang kampong sendiri pun tahu itu semua omong kosong.
Amat malang sekali pula bila pemerintah sewenang-wenang membelanjakan wang dan tabung kepunyaan rakyat hanya untuk kepentingan kroni-kroni walhal tujuan penswastaan adalah untuk meringankan beban rakyat, bukan menambahkan beban yang telah sedia ada.
Kelainan dahulu dan sekarang ialah segala penyelewengan yang berlaku adalah terlalu jelas untuk orang kampung yang tidak berpelajaran tinggi untuk memahaminya. Berlainan kalau dipersoalkan skandal itu dan ini, yang tidak jelas lagi mengelirukan.
Kini rakyat telah keliru dengan tindak-tanduk kerajaan yang terlalu menyimpang jauh dari norma-norma sebuah kerajaan yang dipilih rakyat, berasa kecewa dan lebih kecewa kerana tiada terdapat seorang pun yang berani untuk menyedarkan pemimpin yang telah jauh meninggalkan rakyatyang memilihnya.
Adalah diharapkan terdapat pemimpin yang masih waras, yang masih menghormati dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap yang dipimpin. Apa perlu ialah mempunyai pemimpin yang memimpin dengan jujur, ikhlas dan adil. Mungkin ini terlalu jauh untuk dicapai di tanah air ku yang tercinta.

