Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 22 Mei, heboh terutamanya di media massa yang menyebutkan isu pemakaian seragam sekolah yang berwarna putih terutamanya di kalangan pelajar perempuan muslim.

Saya yakin isu ini patut dan mesti difikirkan dengan rasional akan kesan positif dan negatif oleh semua pihak terutamanya pihak yang bertanggungjawab.

Saya terpanggil untuk menyatakan pendapat berhubung kenyataan Munirah Bahari yang berjaya menarik perhatian dan menyedarkan masyarakat umum di Malaysia tentang isu pakaian seragam sekolah putih yang menjadi salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya kes jenayah terutamanya di sekolah.

Saya kagum dengan keberanian seorang wanita Islam menyatakan kebenaran demi menjaga maruah wanita-wanita Islam yang lain terutamanya pelajar-pelajar perempuan muslim yang mungkin tidak tersedar akan perkara ini.

Kenapa saya bersetuju dan menyokong dengan pandangan yang diberi oleh Munirah sedangkan ramai di kalangan kita menyatakan pandangan ini kolot dan sebagainya?

Sebagai salah seorang penduduk di Malaysia yang sedikit sebanyak peka dengan persekitaran di kalangan pelajar sekolah, saya perhatikan majoriti pakaian seragam putih pelajar sekolah sama ada lelaki mahupun perempuan muslim kelihatan jarang dan boleh dikatakan warnanya agak lusuh, dan pastilah kelusuhan baju putih itu menambahkan lagi kejarangan sehingga membayangkan bentuk badan pelajar itu.

Keadaan pakaian ini sudah agak selamat jika pelajar perempuan memakai tudung yang agak labuh, tetapi cuba kita bayangkan, bagaimana dengan mereka yang memakai tudung yang hanya sekadar menutup kepala, ditambah pula berjalan di bawah sinaran cahaya matahari yang pastinya menunjukkan sesuatu yang tersembunyi di sebalik pakaian itu.

Akibatnya, ia mengancam keselamatan malah menjatuhkan maruah pelajar itu dan sekali gus menjatuhkan harga diri seorang wanita Islam.

Mungkin terdapat juga di kalangan pelajar perempuan tidak sedar bahawa nilai dirinya jatuh dengan pemakaian begitu kerana tiada siapa yang sudi melindungi dan menegurnya.

Hanya orang Islam yang menyayangi saudara Islamnya sahaja yang sudi melindungi dan menyedarkan dia.

Selain itu, saya juga mengucapkan tahniah kepada Munirah atas rasa keihsanannya dalam menyatakan isu ini.

Saya yakin isu ini tiada kaitan dengan pemikiran kolot, katak di bawah tempurung dan sebagainya. Tetapi isu ini berkaitan dengan maruah seorang wanita yang semestinya dilindungi atau ditegurnya demi menjaga harga diri wanita.

Saya rasa semua wanita, sama ada Islam dan bukan Islam, juga menganggap sesuatu yang tidak manis seandainya seorang wanita mendedahkan dirinya kepada sesiapa sahaja terutamanya ajnabi.

Jadi, kita perlu sedarkan mereka yang tidak sedar bahawa diri mereka diperhatikan.

Sebagai kesimpulannya, wanita adalah hiasan dunia, segala pakaian dan perhiasan yang dipakai seorang wanita sedikit sebanyak menarik perhatian seorang lelaki sama ada pakaian itu sopan, menutup aurat atau tidak.

Yang pastinya, kita sebagai wanita Islam, perlulah menitikberatkan pemakaian kita agar kelihatan sopan serta menutup aurat dan mengikuti adab orang Melayu.

Merujuk pakaian pelajar perempuan, bagi saya, lebih baik membaiki kualiti atau jenis seragam sekolah yang putih itu agar maruah seorang wanita terjaga dan mewajibkan setiap sekolah menentukan jenis baju putih yang patut dipakai oleh seorang pelajar perempuan agar diri seorang pelajar Islam terpelihara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS