SURAT | Baru-baru ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, secara rasmi mengumumkan bahawa ilmu kecerdasan buatan (AI) asas akan mula diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 menerusi mata pelajaran Teknologi Digital di peringkat sekolah rendah.

Idea itu sebenarnya agak janggal kerana kita hendak melahirkan anak-anak berfikiran kreatif yang tidak bergantung kepada kepakaran digital dalam usia terlalu muda.

Walaupun kurikulum itu disasarkan untuk murid tahun satu (berumur 7 tahun), fasa pendedahan awal dan rintisan teknologi digital sememangnya sudah mula melibatkan anak-anak kita di peringkat awal persekolahan.

Malah dilaporkan lebih setengah juta murid sudah mula mengakses peralatan digital.

Membacanya membuatkan saya termenung panjang. Di manakah silapnya kompas pendidikan kita hari ini?

Kita terlalu ghairah mengejar masa depan digital sehinggakan kita tergesa-gesa melangkaui fasa biologi paling asas seorang kanak-kanak.

Bagi saya, anak-anak tahun satu sewajarnya diajar memegang pen dan pensel terlebih dahulu, bukannya diajar memberi arahan (prompt) kepada robot AI.

Mengapa? Kerana penulisan tangan adalah proses melatih jiwa, otak, dan disiplin fizikal.

Mari kita lihat sejarah. Penulis, ahli falsafah, dan pemikir agung dunia yang membentuk tamadun manusia – seperti Jalaluddin Rumi, William Shakespeare, Socrates, Plato, hinggalah ke tokoh Nusantara kita seperti Buya Hamka dan Sasterawan Negara A Samad Said.

Bagaimanakah karya-karya bermutu tinggi mereka dilahirkan?

Mereka tidak mengenali papan kekunci. Mereka tidak mempunyai perisian algoritma yang menjana bait-bait perkataan dalam masa dua saat. Mereka mengenali pen, dakwat, dan kertas.

Mereka merasai sendiri setiap geseran mata pena. Setiap titisan dakwat yang tumpah melambangkan keringat pemikiran, emosi yang jujur, dan ketekunan yang mendalam. Dari situlah lahirnya mahakarya yang hidup merentas zaman.

Dulu, kita diajar mengenal huruf dan kemudian menulisnya. Kemudian kita menulis karangan, dan selepas itu barulah diperkenalkan dengan karya-karya agung. Prosesnya tersusun.

Apabila kita menyuap anak kecil dengan AI, kita sebenarnya sedang mengajar mereka jalan pintas sebelum mereka sempat memahami sesuatu proses.

Memegang pen mengaktifkan motor halus, melatih koordinasi mata dan tangan, serta merangsang sel-sel otak untuk berfikir secara kreatif. Menulis dengan tangan menuntut kesabaran — sesuatu yang semakin pupus dalam budaya serba instan hari ini.

Sebaliknya, menyerahkan masa depan kognitif anak kepada AI hanya akan melahirkan generasi yang malas berfikir, mempunyai daya fokus (attention span) yang pendek, dan kehilangan keintiman emosi dalam berkarya.

Ya, anak-anak sekarang terlalu bergantung kepada dunia digital hingga hilang fokus kepada dunia realiti. Dunia penulisan kreatif akan kehilangan auranya apabila anak-anak tidak belajar mengenali pen dan kertas untuk menghasilkan pemikiran yang kreatif.

Zaman dahulu, kita menulis surat cinta dengan bahasa romantis menggunakan pen untuk memikat hati. Itu lebih tulen, lebih syahdu kerana lahir dari hati yang ikhlas.

Anak-anak memang perlu diajar keikhlasan hati melalui pen dan kertas sebelum merujuk kepada AI.

Malah, cadangan memperkenalkan AI pada anak-anak kecil ini sebenarnya bertentangan dengan apa yang sedang berlaku di negara maju.

Di saat kita ghairah mahu memperkenalkan AI kepada anak kecil, Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani, baru sahaja mengumumkan sekatan rasmi penggunaan AI generatif untuk murid sekolah rendah dan menengah.

Katanya, anak-anak perlukan interaksi manusia dan guru untuk belajar menyelesaikan masalah sendiri, bukannya robot.

Negara Eropah seperti Sweden yang dahulunya taasub dengan digital kini membuat pusingan U. Mereka membuang peranti digital dari bilik darjah kanak-kanak bawah enam tahun.

Mereka kemudian membuat pelaburan besar untuk membawa kembali buku teks fizikal serta budaya menulis menggunakan pen dan kertas.

Mengapa? Kerana mereka sedar lambakan skrin digital merosakkan fokus dan keupayaan membaca anak-anak mereka.

Di negara kita, masalah murid tidak menghormati guru pun masih gagal kita tangani secara total, dan kini kita mahu mereka kenal AI terlebih dahulu?

Anak-anak perlu diajar berinteraksi dengan guru manusia. AI mungkin memudahkan kerja, tetapi ia akan melemahkan idea kreatif dari minda mereka sendiri.

Saya rasa menteri pendidikan perlu menyemak semula idea mengajar anak-anak sekecil tahun satu untuk diperkenalkan dengan AI. Jangan sibuk membina bumbung teknologi yang gah, sekiranya jemari anak-anak kita masih kekok untuk menggenggam sebatang pen.

Bagaimana pula pandangan ibu bapa yang lain? Adakah kita sudah bersedia melihat anak-anak kita kehilangan seni menulis tangan demi mengejar gelaran 'generasi AI'?


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.