SURAT | Teknologi pintar perlu lengkapi, bukan ganti sistem penjagaan warga emas
Saya menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenalkan sistem pemantauan keselamatan berasaskan teknologi pintar untuk warga emas yang tinggal bersendirian di Razak Mansion, Kuala Lumpur seperti diumumkan semalam.
Projek rintis yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), dijangka melibatkan antara 25 hingga 50 kediaman warga emas.
Penggunaan teknologi Internet Benda (IoT) untuk mengesan kejadian seperti terjatuh atau pergerakan luar biasa serta menghantar notifikasi kecemasan kepada penjaga merupakan langkah terkehadapan dalam meningkatkan keselamatan warga emas. Pendekatan menggunakan pengesan haba tanpa kamera juga wajar dipuji kerana mengambil kira aspek privasi dan maruah penghuni.
Bagaimanapun, teknologi harus menjadi pelengkap kepada sistem penjagaan dan sokongan komuniti, bukannya pengganti kepada tanggungjawab keluarga, masyarakat dan kerajaan. Keselamatan serta kesejahteraan warga emas memerlukan ekosistem sokongan yang menyeluruh, termasuk jaringan komuniti, perkhidmatan penjagaan dan perlindungan sosial yang berkesan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/05/a30f773b02cf9d2c8615f514d0d6e25e.jpg)
Prinsip ini selari dengan kempen Menua dengan Bermaruah yang digerakkan oleh NGO Empati Malaysia sejak dua tahun lalu bagi meningkatkan kesedaran tentang hak, kebajikan dan keperluan warga emas. Antara usaha yang diketengahkan termasuk pengenalan penggera peribadi bagi membantu warga emas mendapatkan bantuan ketika kecemasan.
Saya berharap projek rintis ini dapat diperluas ke kawasan perumahan lain, khususnya komuniti yang mempunyai ramai penduduk warga emas. Pada masa yang sama, kerajaan perlu terus memperkukuh sistem penjagaan dan sokongan komuniti agar tiada warga emas yang terpinggir atau terpaksa menghadapi proses penuaan bersendirian tanpa bantuan sewajarnya.
Penuaan bukan sekadar tanggungjawab keluarga, tetapi tanggungjawab bersama masyarakat dan negara. Warga emas bukan beban, sebaliknya anggota masyarakat yang berhak menikmati kehidupan yang selamat, berdikari dan dihormati.
Menua dengan Bermaruah bukan sekadar slogan. Menua dengan Bermaruah adalah komitmen bersama untuk memastikan setiap insan dapat meniti usia tua dengan selamat, dihormati dan bermaruah.
LOH KER CHEAN Naib Ketua Wanita PKR dan Pengasas NGO Empati Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/1211/bcd656abf7383b12cef4da56528ab1df.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.