dikemaskini Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) tidak memadai untuk menjalankan tugasnya seperti Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), kata dua NGO hak asasi terkenal.

Cadangan penubuhan suruhanjaya itu, yang masih di peringkat perbahasan di Dewan Rakyat, tidak dapat menjalankan peranan semak dan imbang, kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Amnesty International (AI) Malaysia.

"Rang undang-undang yang dibentangkan (semalam) itu gagal mencapai ciri asasi sesuatu aduan kerana ia kekurangan kuasa penguatkuasaan yang bebas bagi memberikan proeses semak dan imbang yang berkesan secara adil dan telus," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Penyelaras Suaram, Moon Hui dan penyelaras kempen AI, K Shan juga mempertikaikan semua kes bawah siasatan SIAP harud dirjuk kepada peguam negara kerana bimbang wujud pendakwaan memilih-milih dan keputusan politik seperti pernah berlaku usaha menutup kes-kes berprofil politik dan berkaitan politik.

"Kami juga terperanjat dengan hakikat bahawa peguam negara yang juga lantikan politik perdana menteri diberikan kuasa penuh memutuskan (kes-kes SIAP) yang, pada hemat kami, bercanggahan dengan hasrat sesuatu kes itu haruslah dikendalikan secara bebas, adil dan boleh dipercayai," kata mereka.

Suaram dan AI Malaysia bertekad untuk terus memperjuangkan penubuhan IPCMC seperti telah disarankan untuk suruhjaya diraja siasatan polis pada 2005.

Mereka juga meragui kemampuan SIAP mengawasi 21 agensi penguatkuasaan yang dianggapnya satu pertindihan tugas dan menjadikan suruhanjaya itu tidak berkesan.

"Kami bimbang dengan bidang yang sebegitu besar, dan dengan itu mustahil bagi sebuah badan dengan keupayaan dan sumber yang terhad boleh menangani semua kes berhubung 21 agensi yang mempunyai bermacam-macam tatacara dan arahan operasi," kata Moon dan Shan lagi.

SIAP pada awalnya dikenali sebagai Suruhanjaya Aduan Khas (SCC).

Pembentangan rang undang-undang untuk menubuhkan SCC bagaimanapun ditarik balik untuk pindaan lanjut selepas ditolak oleh wakil-wakil pembangkang.

Usaha menubuhkan SCC diambil selepas kerajaan menarik balik hasrat menubuhkan IPCMC seperti yang disyorkan oleh suruhanjaya diraja.

SIAP dibentuk bagi memenuhi janji perdana menteri - yang akan bersara hujung bulan ini - untuk melaksanakan reformasi seperti manifestonya dalam pilihanraya umum 2004.

Dalam pakej reformasinya sebelum ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR), dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.