JK khas siasat dua bedah siasat Kugan
Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat laporan bedah siasat tahanan A Kugan memulakan mesyuarat pertamanya hari ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata jawatankuasa tersebut yang dianggotai oleh enam panel penilai akan membuat penelitian terhadap kedua-dua laporan bedah siasat mendiang.
Laporan jawatankuasa tersebut akan didedahkan kepada umum dalam jangka masa terdekat, katanya kepada pemberita di Hospital Serdang hari ini, lapor Bernama.
Menjawab dakwaan bahawa keluarga mendiang tidak mahu laporan bedah siasat berkenaan disiasat oleh jawatankuasa itu, Liow berkata ia perlu dilakukan demi memelihara kredibiliti dan profesionalisme Kementerian Kesihatan.
"Jawatankuasa berkenaan akan menyiasat dengan telus dan mereka terdiri daripada panel penilai bebas. Justeru tidak akan timbul isu pilih kasih atau berat sebelah dalam laporan mereka," katanya.
A Kugan, 23 mati ketika dalam reman di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya pada 20 Januari lepas selepas ditahan pada 15 Januari lalu kerana disyaki terlibat dalam sindiket curi kereta mewah di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Laporan bedah siasat pertama menyatakan Kugan meninggal dunia akibat paru-paru berair.
Keluarga mendiang yang tidak berpuas hati mendesak supaya siasatan lanjut diadakan kerana mangsa didapati memiliki banyak kesan kecederaan pada tubuhnya.
Berikutan itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada 23 Januari lalu mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Manakala bedah siasat bebas kedua yang dibuat atas permintaan keluarga Kugan menunjukkan mendiang meninggal dunia akibat dibelasah teruk.

