Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas menteri besar Selangor dan isterinya diarah memberikan keterangan dalam siasatan awam Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung sumbangan jutaan ringgit dana syarikat kerajaan (GLC) negeri kepada badan amal isteri wakil-wakil rakyat BN.

Semasa Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo memimpin negeri itu, isterinya Zaharah Kechik mengetuai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) yang menimbulkan kontroversi susulan pembubaran mengejut dan pemindahan tabungnya RM9.9 juta selepas negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, Mac tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) DUN Teng Chang Khim berkata, jawatankuasa itu telah mengeluarkan surat kepada semua sepuluh saksi, kecuali seorang yang berada di luar negara.

Teng, juga speaker DUN, mendedahkan perkara itu dalam sidang media selepas penangguhan sidang dewan tengah hari tadi.

Minggu lalu, Teng memberitahu Malaysiakini , Selcat akan mengadakan siasatan awam selama seminggu mulai Isnin ini.

Saksi-saksi itu termasuklah penjawat awam, selain bekas setiausaha Balkis, Pon Ishak.

Dalam sidang media di sebuah bilik di bangunan DUN, tempat siasatan awam itu bakal diadakan, Teng turut menyeru orang awam yang mempunyai bukti turut tampil membantu siasatan.

Tambahnya, semua saksi akan dilindungi serta keterangan yang diberikan tidak akan dijadikan bukti di mahkamah, sekiranya perlu.

Teng (DAP-Sungai Pinang) berkata, siasatan awam itu akan disiarkan secara langsung di laman web rasmi supaya dapat ditonton pelbagai pihak.

Katanya, 200 orang dijangka hadir dalam siasatan itu, termasuk media, dan kumpulan NGO yang dijemput sebagai pemerhati.

Balkis mencetuskan kontroversi apabila dana terkumpulnya disalurkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri, selepas ia dibubarkan secara tergesa-gesa.

Siasatan awal Selcat mendapati, terdapat sumbangan wang yang besar GLC yang mencecah sehingga RM1 juta setahun sejak penubuhan Balkis pada 1985.

ADS