Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah Jumaat cegah 'politik wang'
Diterbitkan:  Mar 27, 2009 4:45 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengeluarkan khutbah Jumaat bertajuk "Pemimpin Bertelagah Rakyat Berpecah" yang diharap dapat membantu menangani isu politik wang.

Ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata topik itu amat sesuai kerana negara sedang berdepan dengan krisis politik wang atau rasuah politik yang menjadi budaya segelintir pemimpin masyarakat, lapor Bernama .

"Diharapkan isu yang dibincangkan dalam khutbah Jumaat pada hari ini, dapat menyedarkan orang ramai agar dalam memilih kepimpinan dan menjadi pemimpin, ia hendaklah selari dengan tuntutan al-Quran dan as-sunnah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isi kandungan khutbah tersebut menyentuh, antaranya, rakyat perlu insaf bahawa budaya politik wang akan mewariskan pemimpin yang tidak berkualiti, korup, tidak berakhlak dan tidak berintegriti.

Wan Mohamad berkata, isu politik wang dalam kalangan pemimpin akan menyukarkan usaha untuk menyatupadukan umat Islam di sini, lapor agensi berita itu lagi.

"Kelemahan kepimpinan Islam akan menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan yang mencabar institusi raja sebagai ketua agama Islam, mempertikai kedudukan Islam dalam perlembagaan dan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini," katanya.

Umno, yang baru sahaja selesaikan mengadakan pemilihan parti, berdepan dengan isu politik wang dan sogokan politik sehingga menjadi topik hangat di kalangan perwakilan dan ahlinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS