Seorang pemimpin DAP mempersoalkan pemasangan poster yang tertera wajah pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri di bangunan kerajaan, termasuk sekolah menjelang pilihanraya kecil Batang Ai Selasa depan.

Menggantung poster di bangunan kerajaan termasuk sekolah adalah melanggar undang-undang pilihan raya, kata Pengerusi DAP Sarawak, Richard Wong Ho Leng.

"Saya hairan mengapa ia dibenarkan. Hanya poster calon yang bertanding yang dibenarkan untuk dipasang," katanya, lapor Bernama.

Wong yang juga seorang peguam mahu pihak polis memberi perhatian terhadap perkara tersebut.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) puas hati dengan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Batang Ai setakat ini.

Pengarah SPR Sarawak, Takun Sunggah berkata, setakat ini juga tidak ada sebarang laporan serius yang dilaporkan kepada suruhanjaya tersebut.

"Kita mahu menasihati parti yang bertanding agar tidak menyentuh isu yang sensitif ketika berkempen," katanya kepada Bernama.

Pilihanraya kecil tersebut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Malcolm Mussen Lamoh dengan calon PKR, Jawah Gerang.

Batang Ai mempunyai 8,006 pengundi berdaftar. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri pada 24 Februari lalu akibat angin ahmar.

Sementara itu, Takun berkata, SPR akan mula mengedarkan kertas undi pos esok.

26 saluran pengundi

Katanya, SPR akan menghantar sampul A dan sampul B yang dimasukkan ke dalam sampul keutamaan SPR kepada 43 pengundi pos yang majoritinya anggota polis selain petugas SPR yang berdaftar sebagai pemilih di Batang Ai.

"Kertas undi pos kita akan mula diedar esok dan terpulang kepada pengundi pos untuk menghantar kertas undi masing-masing sebelum pukul 5 petang pada 7 April ini," katanya.

Takun berkata pihak polis akan menentukan tempat dan tarikh untuk membolehkan anggotanya mengumpul semula semua kertas undi yang telah dihantar SPR.

Katanya sampul A mengandungi kertas undi manakala sampul B untuk maklumat identiti akuan pengundi.

Menurut Takun lagi, 50 kenderaan darat dan 20 perahu panjang akan digunakan oleh kira-kira 200 petugas SPR, membabitkan 26 saluran pengundi.