Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua pemimpin Hindraf dan 11 lain dibebaskan
Diterbitkan:  Apr 5, 2009 1:56 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Dua pemimpin Hindraf dibebaskan dari kem tahanan Kamunting ada kira-kira jam 1.20 tengahari tadi. Mereka disambut oleh anggota keluarga masing-masing sebelum dibawa meninggalkan kem tersebut.

Mereka adalah V Ganabathirau dan R Kenghadharan.

Kedua-duanya adalah antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA selama 15 bulan kerana menganjurkan perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur pada 27 November 2007 kerana menuduh kerajaan meminggirkan kaum India di negara ini.

bm lima tahanan hindraf Mereka kemudiannya ditahan di bawah ISA pada hujung bulan Disember tahun yang sama.

Menurut Bernama, kesemua 13 tahanan ISA yang dibebaskan oleh pihak berkuasa, dibawa keluar dari Kem Tahanan Kamunting kira-kira 1.30 tengah hari ini.

Mereka dibawa keluar dalam beberapa kenderaan polis dan Jabatan Imigresen ke lokasi yang tidak diketahui.

Kumpulan pertama yang dibawa keluar ialah tiga rakyat asing iaitu warga India Sundaraj Vijay dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing serta Amir Hussain.

Mereka yang ditahan sejak 2007, dibawa keluar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Jabatan Imigresen pada 10.45 pagi dengan diringi sebuah kereta yang membawa beberapa orang pegawai jabatan itu.

Orang ramai yang berkumpul di luar pintu masuk kem itu seawal jam 8 pagi, bersorak ketika konvoi dua kenderaan itu melepasi mereka manakala ketiga-tiga rakyat asing berkenaan melambai tangan sambil tersenyum.

Ini diikuti dengan pembebasan Kenghadharan, 40, dan Ganabatirau, 40, pada jam 1.20 tengah hari, yang dibawa dalam dua kereta berasingan dan diiringi sebuah kereta polis dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Aktivis Hindraf

Para penyokong mereka bersorak dan melaung-laungkan nama Kenghadharan dan Ganabatirau ketika kereta lalu di hadapan mereka manakala kedua-dua peguam itu membalasnya dengan lambaian dan senyuman.

Konvoi empat kenderaan yang membawa dua peguam Hindraf itu kemudiannya diekori oleh kereta anggota keluarga mereka. Kedua-dua aktivis Hindraf itu ditahan sejak 13 Disember 2007.

r kenghadharan reach home 050409 02 Setibanya di rumah, Kenghadharan terus memeluk anak lelakinya serta disambut oleh anggota keluarga dan sahabat handainya. (kanan).

Baki tahanan dibawa keluar dari kawasan kem tahanan dengan berjalan kaki dalam satu barisan menuju ke dua buah van yang menunggu di luar pintu masuk kem itu kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Mereka terdiri daripada anggota Darul Islam iaitu Binsali Omar, A. Artas ABurhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama dan

Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006. Tempoh tahanan mereka sepatutnya berakhir tahun depan.

Seorang lagi yang turut dibebaskan ialah anggota Jemaah Islamiah iaitu Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003. Tempoh tahanannya sepatutnya berakhir pada 2011.

Binsali yang ditemubual media mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pembebasan itu dan berkata beliau akan pulang ke rumahnya di Sandakan esok.

'Gembira dibebaskan'

"Saya rasa kesal dengan pembabitan saya dalam kumpulan itu dan tidak akan mengulanginya dan ini adalah kali terakhir saya masuk ke kem Tahanan Kamunting," katanya.

Francis pula bersependapat dengan rakannya dan berharap ini adalah kali terakhir beliau ke kem tahanan itu dan akan meluangkan masa bersama keluarga selepas ini selain turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pembebasannya hari ini.

Sementara itu isteri Kenghadharan, Dr M. Kalaivani, 41, yang ditemui ketika

menunggu pembebasan suaminya berkata walaupun gembira dengan pembebasan itu, pada masa yang sama beliau turut bersimpati dengan nasib anggota keluarga tahanan lain yang masih belum dibebaskan.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana membebaskan suami saya. Ini tindakan yang terbaik namun saya juga berharap kerajaan dapat membebaskan semua tahanan ISA yang lain," katanya yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Polis meningkatkan kawalan di luar pintu masuk utama kem tahanan itu termasuk menempatkan anggota Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) untuk mengawal kira-kira 80 orang yang berkumpul di situ untuk menyaksikan pembebasan itu.

ADS