Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendakwaan teliti fail kes Fairus
Diterbitkan:  Apr 10, 2009 3:55 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin ke bahagian pendakwaan hari ini.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata bahagiannya telah meneliti kertas siasatan berkenaan dan mendapati pada peringkat siasatan ia telah lengkap.

"Pada peringkat siasatan, ia telah lengkap tetapi jika pihak pendakwaan mahu kita menambah siasatan atau sebarang fakta bagi melengkapkan kertas siasatan berkenaan, SPRM akan melakukannya," katanya ketika dihubungi Bernama di Pulau Pinang hari ini.

Ditanya bila pendakwaan berhubung kes itu akan dilakukan, beliau berkata ia bergantung kepada bahagian pendakwaan untuk tindakan seterusnya.

"Sabarlah, bagi peluang kepada bahagian pendakwaan untuk meneliti kes itu dulu sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan selanjutnya," katanya.

Mengenai sama ada Mohammad Fairus akan ditahan, Shukri enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan dua pemimpin PKR negeri ini yang disyaki terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Pendedahan berkenaan dibuat oleh ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kepala Batas, Amizuddin Ahmat pada Februari lalu dan ia dipercayai menjadi punca peletakan jawatan Mohammad Fairus kelmarin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS