BERITA Malaysiakini

T'ganu tuntut lagi RM2.6b wang minyak

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Terengganu akan menuntut RM2.6 bilion wang royalti minyak yang digunakan oleh beberapa kementerian untuk pembangunan di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

"Kita juga sedang berbincang untuk menuntut wang royalti minyak sebanyak RM2.6 bilion yang digunakan oleh kementerian-kementerian berkaitan bagi melaksanakan projek-projek di negeri ini termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur," katanya ketika penggulungan sidang DUN hari ini.

Sebelum itu beliau menjelaskan, kerajaan negeri telah menerima

wang royalti RM650 juta daripada RM1.4 bilion yang dituntut

daripada kerajaan persekutuan dalam tempoh enam bulan lepas, lapor Bernama .

Jumlah yang diperoleh itu daripada perbelanjaan yang digunakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan yang disalur kepada negeri-negeri lain melalui dana khas.

"Baki daripada RM1.4 bilion itu akan diserahkan kembali kepada kerajaan negeri selepas rundingan dengan kerajaan pusat dimuktamadkan," Ahmad dipetik berkata.

Tambahnya, SPNB menggunakan RM873 juta wang royalti minyak

Terengganu untuk melaksanakan projek perumahan di seluruh negara dan daripada jumlah itu hanya RM102 juta dibelanjakan untuk projek di negeri ini.

"Ini bermakna, SPNB masih berhutang sebanyak RM771 juta dengan kerajaan negeri, manakala tuntutan untuk wang royalti yang dijadikan dana khas untuk negeri-negeri lain adalah sebanyak RM717 juta.

Persidangan DUN hari ini ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan

ditetapkan kemudian.