Waytha perjelas rombakan Hindraf
Tidak sampai 48 jam selepas bertindak menggantung kesemua penyelaras Hindraf, pengerusinya, P Waythamoorthy kini berdepan dengan tekanan untuk mempertahankan keputusannya itu.
Penjelasannya dilihat perlu kerana antara penyelaras Hindraf yang digantung itu termasuk beberapa ahli parlimen pembangkang dan aktivis terkemuka.
"Rombakan penuh dan penstrukturan semula diperlukan untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru (yang dihadapi Hindraf)," kata Waythamoorthy kepada Malaysiakini hari ketika menjelaskan tindakannya tersebut.
Beliau berkata, niat asalnya ialah untuk menggantung para penyelaras Hindraf telah "disalahtafsir dan disalahfaham oleh sesetengah pihak.
"Mereka melihatnya seolah-olah kita menggantikan semua penyelaras kita. Ia bukan begit8u kerana ia hanyalah satu langkah penstrukturan semula," tambahnya.
Beliau menjelaskan, jawatankuasa asal 10 anggota ditubuhkan lewat 2007 untuk menyelia kempen Hindraf memperjuangkan hak masyarakat India dan menuntut pembebasan pemimpinnya yang ditahan di bawah ISA pada Disember tahun yang sama.
Ketika itu, Waythamoorthy sudah berada di London untuk menerajui pergerakan itu dari sana.

