Pelantikan Hisham diharap reda kemelut politik T'ganu
Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu diyakini dapat menangani isu krisis kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said.
Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh berkata pelantikan naib presiden Umno itu, juga akan dapat menyelesaikan masalah pelantikan ADUN sebagai penyelaras DUN masing-masing.
Selain itu, Idris yang juga Adun Jertih, berkata ia juga dapat menyelesaikan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah dinafikan kuasa kepada ADUN oleh menteri besar.
"Saya percaya pentadbiran parti akan jadi lebih baik dan tersusun," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di Kuala Terengganu hari ini.
Pelantikan Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu diumumkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam. Manakala Ahmad dilantik sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri berkenaan.
Sementara itu, Umno bahagian Jeli menyambut baik pelantikan ketua Umno bahagian itu, Datuk Mustapa Mohamad sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang dianggap sebagai langkah bijak ke arah mengembalikan kegemilangan Umno Kelantan.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Jeli Datuk Abdul Aziz Derashid berkata jasa dan peranan Mustapa ketika menerajui Kelantan sebelum pilihan raya umum 2004 menunjukkan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu boleh mengendalikan Umno Kelantan dengan baik.
Alu lantikan Tok Pa
Abdul Aziz berkata Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dianggap pemimpin akar umbi yang dapat mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap Umno di samping kerja kuat yang ditunjukkan ketika menerajui Umno.
Sementara itu Pengerusi Majlis Veteran Umno Kelantan Datuk Rozali Isohak berkata Najib membuat keputusan yang bijak dengan melantik seorang tokoh yang disegani dan dihormati oleh kawan serta lawan.
Beliau juga mengalu-alukan pelantikan Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai timbalan pengerusi yang dianggapnya gandingan mesra rakyat.
Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Afandi Yusoff berkata Pemuda Umno akan memberi kerjasama dan kepercayaan kepada Mustapa yang memang teruji dengan kejayaan cemerlang pemimpin itu sepanjang 20 pemerintahan PAS di Kelantan.
Gabungan muka baru, lama
Di Kuala Lumpur, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin berkata kombinasi antara muka baru dan lama dalam senarai MT Umno penting dalam memperkasa parti itu sebagai sebuah parti politik terbesar negara ini yang menjadi tunjang kepada rakyat dan negara.
Beliau berkata pergerakan itu menyambut baik pelantikan 12 anggota MT yang menggabungkan muka baru dan lama namun berharap wajah lama dapat membantu memperkuatkan Umno.
"Puteri melihat perkara ini sebagai satu perkara positif, dengan penglibatan tokoh-tokoh yang telah lama berada di persada politik ini mampu membantu perkukuh parti berdasarkan keupayaan yang dimiliki mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar "Housemanship Training in Malaysia".
Di Kangar, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata
pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim bukanlah anugerah kuasa untuk dibanggakan tetapi amanah yang perlu dipikul untuk parti dan rakyat.
Sambil bersyukur di atas pelantikan itu, beliau yang juga Ketua Umno
bahagian Kangar berjanji akan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.
Di Seremban, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad berkata kepercayaan presiden Umno melantik semula beliau sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Negeri Sembilan akan diterjemahkan dengan sebaik yang mungkin untuk memperkukuhkan Umno dan BN negeri itu.

