Umno belum tentukan calon Penanti
kemaskini 7.56pm Sehingga tamat mesyuarat biro politik di pejabat perdana menteri awal petang ini, tiada sebarang pengumuman dibuat oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung calon pilihanraya kecil DUN Penanti.
Hampir sepuluh pemberita dan jurugambar yang menunggu di pos pengawal bangunan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sejak jam 12.30 pulang dengan kecewa.
Mereka gagal mendapat sebarang maklumat berhubung butiran mesyuarat tersebut, seperti telah dimaklumkan terlebih awal bahawa tiada sidang akhbar akan diadakan selepas mesyuarat tersebut.
Petugas media itu bagaimanapun enggan beredar.
Kumpulan wartawan itu difahamkan bahawa Najib mungkin mengumumkan perkara itu di Sabah, petang atau malam ini.
Beliau dijadual terbang ke sana jam 3 petang untuk menghadir majlis makan malam dan persembahan kebudayaan di sebuah hotel di Kota Kinabalu.
BN sebelum ini dilaporkan tidak bersedia meletakkan calon dalam pilihanraya itu yang akan berlangsung antara 23 hingga 31 Mei ini.
PKR meletakkan timbalan pengerusi perhubungannya di Pulau Pinang, Mansor Othman bagi menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin yang melepaskan jawatan 16 April lalu.
Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu calon Penanti tidak dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin turut mengesahkan perkara yang sama, lapor laman web China Press petang ini.

