Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah menyeru pentadbiran negeri itu supaya berani meneroka idea baru dan terbuka kepada inovasi bagi mengoptimumkan produktiviti dan mengurangkan kos.

Sebagai contoh, baginda mahu kerajaan negeri menggunakan kebijaksanaan dalam pendekatan bagi memajukan sektor pelancongan dengan memberi tumpuan kepada kepada produk dan bukan acara.

"Untuk lebih maju, pengurusan dan pemasaran produk pelancongan sebaik-baiknya diserahkan kepada pihak swasta, sementara pihak awam menumpukan kepada peranan membangunkan prasarana dan berperanan sebagai pemudah cara," titah baginda ketika bertitah merasmikan persidangan DUN Perak di Ipoh.

Raja Nazrin Shah bertitah bahawa selain mempopularkan produk-produk pelancongan di Perak, kerajaan negeri juga sedang berusaha melahirkan usahawan baru dalam bidang pelancongan serta memperbaiki kualiti perkhidmatan hingga sampai ke peringkat berupaya memenuhi keperluan pelancong antarabangsa.

Baginda melahirkan rasa gembira dengan usaha menambah baik sistem penyampaian awam di Perak melalui pengenalan beberapa kaedah baru perkhidmatan seperti pembayaran cukai tanah dan pinjaman pendidikan melalui sistem perbankan internet dan pejabat pos.

Raja Nazrin Shah turut memuji kerajaan negeri kerana menubuhkan Majlis Ekonomi Negeri Perak kerana badan itu yang dianggotai pakar-pakar ekonomi, ahli akademik, wakil industri serta wakil pelbagai agensi kerajaan itu dapat mencetuskan idea-idea baru dalam usaha menangani krisis ekonomi semasa.

Namun, baginda mengingatkan kerajaan negeri supaya berwaspada dengan perkembangan semasa yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi seperti influenza A (H1N1) yang berkemungkinan besar menjejaskan sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan.

"Kerajaan Beta akan senantiasa mengambil langkah-langkah proaktif dalam menangani krisis ekonomi semasa dan pada masa yang sama akan menyediakan perancangan yang mantap untuk mencapai matlamat Perak Maju 2015," titah baginda.

Menyentuh mengenai perumahan awam, baginda bertitah kerajaan negeri menyasarkan bahawa setiap keluarga di Perak akan memiliki rumah menjelang tahun 2015.

"Memiliki rumah kediaman yang selesa adalah impian setiap insan. Oleh itu Beta mengingatkan kepada pihak perancang dan pihak pelaksana untuk memberi perhatian terhadap reka bentuk dan keluasan, kemampuan kewangan rakyat selain memastikan rumah disiapkan dalam tempoh waktu pembinaan yang dijanjikan," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan mengenai tanggungjawab kerajaan negeri dalam usaha membasmi kemiskinan kerana kejayaan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara akan hanya bererti dan tercapai jika negara tidak lagi mempunyai rakyat yang miskin.

Selain membuka peluang kepada golongan miskin menyertai skim ladang rakyat dan pemberian bantuan melalui sumbangan wang, strategi pembasmian kemiskinan secara lebih komprehensif ialah dengan memberi fokus kepada peningkatan kemudahan asas, pembangunan modal insan di kalangan keluarga miskin tegar dan membangunkan industri desa yang boleh meningkatkan pendapatan isi rumah secara mapan.

Raja Nazrin Shah turut memandang berat mengenai insiden jenayah, penagihan dadah dan budaya Mat Rempit yang menjadi keterlaluan sekarang.

Tindakan tegas pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang wajib disokong dan prinsip undang-undang hendaklah sentiasa disanjung.

"Beta memahami tugas berat yang dihadapi oleh Polis Diraja Malaysia.

"Masyarakat dan orang awam perlulah memberi segala kerjasama dan bantuan untuk membolehkan anggota polis melaksanakan tugas secara berkesan," titah baginda.