Tunang turut dijangkiti meningitis
Tujuh lagi dijangkiti meningitis di hospital Melaka hari ini - termasuk seorang tunang pelatih Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dua kakitangan hospital.
Jangkitan terbaru itu - termasuk tiga bukan pelatih - membawa jumlahnya kepada 38 orang, setakat ini.
Semalam, sebelas pelatih akademi JPJ dimasukkan ke wad pengasingan di hospital tersebut, manakala dua pelatih masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak meningitis di akademi tersebut di Tiang Dua, Melaka disebabkan oleh bakteria "diplococci".
Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pengarah kesihatan berkata pasukan perubatan masih diletakkan sepenuh masa di akademi
berkenaan untuk mengawasi sejumlah 85 pelatih.
"Mereka yang ditempatkan di wad pengasingan terdiri daripada 32 pelatih, seorang jurulatih, seorang wanita kontak kepada pelatih dan dua pelatih jurusinar X," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
"Langkah-langkah pencegahan dan kawalan akan diteruskan sehingga kesemua kes pulih sepenuhnya." katanya.

