Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun menjadi calon pilihan, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan bersedia "berkompromi" dalam persaingan merebut jawatan nombor satu dewan tersebut.

"Saya lebih senang menggunakan musyawarah (rundingan). Tetapi kalau ada pihak yang mahu bertanding, itu terpulanglah kerana ia merupakan hak mereka," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Menurutnya, amalan musyawarah bagi menentukan jawatan tertinggi parti bersesuaian dengan semangat kerjasama dan kesepakatan dalam PAS.

Secara tradisinya, tambah beliau, tidak ada pertandingan bagi tiga jawatan utama dalam Dewan Pemuda PAS.

Mengulas lanjut, Nasrudin bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan mesyuarat exco Pemuda PAS bagi memutuskan sama ada perlunya memilih ketua melalui pertandingan ataupun tidak.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaan menerima apa jua keputusan yang akan dibuat walaupun sudah mendapat sokongan daripada sebahagian besar PAS negeri-negeri.

Mesyuarat exco Dewan Pemuda PAS pada 24 Mei ini dijangka membincangkan soal pemilihan parti termasuk kewajaran jawatan tertinggi dalam dewan itu dipertandingkan.

Dapat pencalonan terbanyak

Pemilihan PAS awal Jun ini bakal menyaksikan pertembungan sengit dua aliran - pro-muqabalah yang condong kepada presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan "kumpulan Erdogan" yang pro-penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, berdasarkan jumlah pencalonan terkini, sokongan terhadap kumpulan pro-muqabalah dalam sayap Pemuda dilihat mantap apabila Nasrudin mendominasi pencalonan untuk kerusi ketua Pemuda.

Seorang lagi tokoh Pemuda yang dicalonkan, Mohamad Zaki Ibrahim - yang dikatakan condong kepada Kumpulan Erdogan - setakat ini hanya mendapat pencalonan tunggal daripada Kelantan.

Tiga lagi negeri - Sabah, Negeri Sembilan dan Melaka - belum lagi mengumumkan pencalonan mereka.

Sementara itu, Mohamad Zaki ketika dihubungi Malaysiakini menyatakan "kesediaannya untuk berbincang" bagi menentukan siapakah yang akan mengetuai dewan itu.

"Kita akan bincang siapa yang layak duduk di situ. Ia penting untuk mengurangkan "politiking" dalam Pemuda," katanya.

Belum ada saranan kompromi

"Sekiranya ada (tokoh) bersesuaian, kita beri peluang. Kita ada masa lagi. Masih ada ruang untuk berbincang. Kita tengok dulu perkembangan politik semasa," katanya, juga ADUN Kelaboran.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima cadangan atau desakan daripada mana-mana pihak untuk berkompromi dengannya..

"Setakat ini saya belum menerima apa-apa cadangan untuk berkompromi," katanya, juga timbalan Speaker DUN Kelantan

Mohamad Zaki bagaimanapun belum memutuskan hasratnya untuk bertanding kerana ingin mendapatkan "pandangan rakan-rakan" terlebih dahulu.

Senarai akhir calon yang akan bertanding untuk jawatan kepimpinan tertinggi di peringkat pusat dan tiga sayap PAS - Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat - akan diketahui secara rasminya pada 25 Mei ini.

ADS