Jentera Pemuda Umno Perak di setiap bahagian diarah turun padang serta-merta bagi membuat penerangan mengenai proses perundangan yang sedang diambil dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri ini, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata penerangan itu hendaklah sampai kepada generasi muda walau di mana mereka berada, bagi memastikan mereka mendapat gambaran sebenar masalah tersebut serta penyelesaian yang sedang dan akan diambil.

"Keadaan politik di negeri ini masih tidak menentu dan tidak semua mereka (golongan belia) dan akar umbi mengetahui dan memahami kemelut yang melanda negeri ini.

"Kempen penerangan yang jelas hendaklah bermula sekarang supaya gambaran yang jelas diberikan kepada pengundi," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama ketua Pemuda Umno Malaysia di bangunan Umno di Ipoh malam tadi, lapor Bernama.

Beliau berkata penyampaian maklumat yang tidak tepat dan tidak berkesan, menyebabkan pengundi di peringkat akar umbi tidak memahami apa yang sedang berlaku.

"Keadaan ini menyebabkan mereka menerima bulat-bulat propaganda yang diuar-uarkan pembangkang," katanya.

Laporan polis

Sementara itu, exco kanan Perak, Datuk Hamidah Osman membuat laporan polis terhadap Speaker Pakatan DUN Perak, V Sivakumar yang didakwa telah menyalahgunakan kuasa dengan menghalau tujuh ADUN BN dan tiga ADUN Bebas keluar dari dewan pada persidangan DUN 7 Mei lalu.

Hamidah berkata, tindakan Sivakumar jelas menunjukkan bekas Speaker itu tidak menerima keputusan yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini yang boleh dianggap sebagai menghina kredibiliti dan integriti mahkamah.

"Pada hari itu, beliau bertindak di luar bidang kuasanya dengan menghalau 10 ADUN yang sepatutnya bersidang dan enggan memulakan persidangan walaupun mahkamah telah membuat keputusan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh malam tadi, lapor Bernama.

Katanya, tindakan ADUN pakatan pembangkang yang berdiri di hadapan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah ketika baginda hendak memulakan titah perasmian persidangan itu juga dianggap menghina institusi diraja.

"Tindakan ini amat memalukan, keterlaluan dan satu penghinaan terhadap institusi diraja dan DUN. Ia harus dihentikan dan tindakan perlu diambil terhadap mereka," katanya.

Hamidah yang juga ADUN Kawasan Sungai Rapat turut membuat laporan polis berasingan terhadap ketua PKR bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda yang didakwa memfitnahnya dengan menuduh Hamidah berkomplot dengan polis bagi melindungi sekumpulan samseng membelasah dua beradik lelaki yang menuntut hutang.

"Fauzi tanpa usul periksa telah menuduh saya melindungi dan menjamin samseng yang membelasah dua beradik itu di sebuah restoran di Pekan Razaki, Gunung Rapat di sini (Ipoh). Pada 10 Mei lepas mereka buat laporan polis dan hari ini (semalam) telah memfailkan satu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Hamidah berkata beliau membuat laporan polis itu bagi membersihkan namanya dan menjelaskan kepada pengundi serta orang ramai mengenai perkara itu yang didakwanya telah dimanipulasi pihak tertentu untuk meraih populariti.

Beliau juga menegaskan akan menyaman Fauzi melalui peguamnya kerana dengan sengaja mahu menjatuhkan namanya, memfitnah dan memburukkan reputasinya sebagai seorang Exco Kanan Kerajaan Negeri dan (ADUN) kawasan Sungai Rapat.

Pada jam 10.45 pagi semalam, Fauzi yang membuat laporan di pejabat SPRM di Ipoh, berkata kira-kira 40 samseng terlibat dalam kejadian itu yang berpunca kerana salah seorang daripada mereka tidak mahu kedua-dua mangsa yang dibelasah meminta hutang daripadanya.