Gerakan yakin hubungan dengan Umno PP akan pulih
Hubungan antara Gerakan dan Umno Pulau Pinang akan dapat dipulih di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusi Umno negeri yang baru.
Ketika menyuarakan keyakinan tersebut, pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Han mengumpamakan yang berlaku sebelum ini sebagai 'masalah keluarga'.
Hubungan antara kedua belah parti komponen BN itu tegang ekoran kenyataan ketua Umno bahagian Bukit Bendera ketika itu, Datuk Ahmad Ismail yang menyifatkan orang Cina sebagai kaum pendatang.
Ekoran itu, Gerakan mengutuk kenyataan Ahmad itu yang mereka anggap bersikap perkauman dan meminta Umno mengambil tindakan terhadapnya.
Gerakan kemudiannya memutuskan semua hubungan dengan Umno negeri itu selepas Ahmad menggesa supaya Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dipecat dari jawatan pengerusi BN negeri ekoran kecaman parti itu terhadapnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Teng berkata di bawah kepimpinan Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Zainal Abidin Osman, "kita yakin dapat berkerjsama demi kebaikan rakyat dan BN".
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Umno negeri itu semalam, Ahmad Zahid berkata hubungan Umno Pulau Pinang dengan Gerakan adalah dalam keadaan baik.
Menurutnya, perbincangan telah diadakan dengan presiden Gerakan serta pemimpin BN negeri yang lain.
"Umpama carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga...kita dalam satu keluarga, itu perkara biasa dan semua parti pun menghadapi masalah yang sama juga," Ahmad Zahid dilaporkan berkata.

