Seorang penumpang wanita penerbangan MH091 yang dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru semalam, selepas

mengalami demam, disahkan negatif virus influenza A (H1N1).

Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Mohd Khairi Yakub berkata wanita itu kini ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenar pulang dalam masa terdekat.

Sebelum ini, wanita itu dikuarantin di rumahnya di sini dengan tiga lagi penumpang pesawat yang sama, iaitu dua lelaki dan seorang wanita sejak Jumaat.

"Tiga lagi penumpang itu akan dikuarantin di rumah sehingga Rabu," katanya, lapor Bernama .

swine flu pandemic 150509 03 Jumaat lalu, Malaysia mencatat kes H1N1 pertama apabila seorang penuntut berusia 21 tahun yang menaiki penerbangan MH091 dari Newark, New Jersey, ke KLIA melalui Sweden pada 13 Mei didapati dijangkiti virus itu.

Sehari selepas itu, seorang pelajar lagi yang menaiki penerbangan MH091 dari Newark pada hari yang sama disahkan dijangkiti wabak tersebut.

Mangsa kedua mengambil penerbangan AirAsia AK5358 dari Sepang ke Pulau Pinang.

Sementara itu, Dr Mohd Khairi berkata dua rakyat asing, yang bercuti di sebuah pulau di negeri ini, dikuarantin di hotel penginapan mereka sejak Sabtu.

Setakat ini mereka tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus itu, tetapi jabatan kesihatan akan terus membuat pemerhatian rapi, katanya.