kemaskini 8.33pm Empat pekerja terbunuh, termasuk dua mayat yang ditemui hari ini, di bangunan lama pusat membeli-belah Jaya Supermarket yang ranap petang semalam.

jaya supermarket building collapse 280509 02 Mayat ketiga ditemui jam 3.30 pagi, lebih 10 jam selepas lima tingkat bangunan itu tiba-tiba runtuh kira-kira pukul 5 petang hingga tingkat bawah tanah.

Manakala mayat keempat ditemui kira-kira 4 petang ini.

Dua berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke hospital dalam tempoh dua jam pertama selepas tragedi. Sementara tiga belum berjaya dikeluarkan, lapor beberapa media hari ini.

Dua mayat pertama ditemui menjelang jam 7 petang semalam di bawah runtuhan bangunan yang pernah menjadi mercu tanda daerah Petaling Jaya.

Bangunan berusia 35 itu yang pernah menempatkan pusat membeli-belah dan beberapa kedai ditutup Februari tahun lepas sebelum pemilik baru ingin membina bangunan baru di atas tapak yang sama.

Polis menyatakan operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap akan diteruskan.

Sementara itu, kerajaan Selangor mengeluarkan arahan henti kerja di tapak projek tersebut bagi membolehkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengkaji dan menyediakan laporan berhubung insiden itu.

"Arahan henti kerja itu untuk tempoh tujuh hari mulai hari ini," kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

"Kerajaan negeri telah pun meminta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya memantau kawasan itu sepanjang masa bagi memastikan tiada jentera atau peralatan yang digunakan dalam kerja-kerja merobohkan bangunan berkenaan dibawa keluar dari tapak kejadian bagi membolehkan siasatan yang rapi dijalankan," katanya seperti dilaporkan Bernama .

MBPJ turut diminta mengepung tapak projek demi keselamatan penduduk berhampiran serta anggota pasukan mencari dan menyelamat.

Beliau meminta MBPJ agar bekerjasama rapat dengan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memandangkan semua pekerja yang terperangkap warga negara republik itu.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut agensi berita itu lagi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membentangkan laporan awal insiden mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

Menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha berkata laporan awal insiden itu

sedang disiapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri dan Pembinaan Malaysia (CIDB) serta MBPJ.