H1N1: Kes ke-12 disahkan hari ini
Kes ke-12 membabitkan seorang penuntut perubatan lelaki berusia 19 tahun dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang telah bercuti ke Melbourne, Australia selama 17 hari mulai 24 Mei.
H1N1: Kes ke-12 dikesan hari ini
Satu lagi kes baru Influenza A (H1N1) positif disahkan hari ini, menjadikan kesemuanya 12 kes yang dilaporkan di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
Beliau berkata kes ke-12 itu membabitkan seorang penuntut perubatan lelaki berusia 19 tahun dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang telah bercuti ke Melbourne, Australia selama 17 hari bermula 24 Mei.
Penuntut itu pulang ke Malaysia bersama-sama tiga orang rakannya dengan Malaysia Airlines (MAS), MH148 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 9.21 malam, Rabu lepas. Tempat duduk beliau ialah 36F manakala rakan-rakannya duduk di barisan yang sama, katanya dalam kenyataan di ibunegara hari ini.
Menurut Dr Mohd Ismail, penuntut itu tidak demam semasa di KLIA dan beliau telah singgah ke rumah rakannya di Ampang sini sebelum pulang ke rumah bapanya juga di Kuala Lumpur, lapor Bernama.
Khamis lepas, penuntut itu keluar makan tengah hari di sebuah pusat membeli-belah bersama ibunya, dan ketika ini, beliau telah mula berasa demam tetapi penuntut itu kemudiannya keluar bersama-sama rakannya di sekitar Kuala Lumpur.
Dr Mohd Ismail berkata penuntut itu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pukul 3 petang semalam dan terus dirujuk serta dimasukkan ke wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.30 petang sebelum disahkan positif influenza A (H1N1) pagi ini.
Penumpang pesawat MH148
"Siasatan mendapati beliau telah mula sakit tekak dan hidung tersumbat pada Selasa lepas dan mula demam Khamis lalu. Pada masa ini pesakit berkenaan adalah stabil dan diberi rawatan antiviral," katanya.
Beliau juga berkata ibu bapa penuntut itu tidak tinggal serumah dan sedang diletakkan di bawah kuarantin rumah.
Katanya, Kementerian Kesihatan telah mengesan lima kontak di kalangan rakan-rakan penuntut tersebut untuk dikuarantin, selain penumpang yang menaiki pesawat MH148 bersama-sama beliau terutama yang berada di tempat duduk barisan 33 hingga 39.
"Kementerian Kesihatan bimbang dengan situasi ini dan menyeru kepada sesiapa yang baru datang atau pulang dari negara-negara yang terjejas agar mengehadkan perjalanan mereka dalam masa tujuh hari dan sekiranya mempunyai gejala Influenza A (H1N1) segera mendapatkan rawatan dan jangan melakukan aktiviti sosial yang melibatkan percampuran dengan orang lain," katanya.
Menurut Dr Mohd Ismail, pada masa ini, sebanyak lima kes masih dalam rawatan di Hospital Sungai Buloh (1), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (1), Hospital Pulau Pinang (2) dan Hospital Kuala Lumpur (1).
Beliau berkata dalam tempoh 24 jam, sejumlah 33 notifikasi kes yang mempunyai gejala jangkitan influenza selepas kembali dari negara yang terlibat dengan wabak Influenza A(H1N1) diterima dari seluruh negara dan 27 kes telah dimasukkan ke wad isolasi di enam hospital rujukan bagi tujuan rawatan dan penyiasatan.
Khamis lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan peningkatan amaran daripada fasa 5 ke fasa 6, iaitu fasa pandemik Inluenza A (H1N1) yang merebak secara berleluasa ke seluruh dunia dengan 22 negara mempunyai penularan tempatan.
Belum ada kes tempatan
Setakat ini, Malaysia belum lagi melaporkan kes tempatan.
Menurut kenyataan itu, WHO juga memaklumkan sehingga pukul 8 pagi tadi di seluruh dunia, sebanyak 29,827 kes Influenza A(H1N1) dengan 145 kematian di 74
negara dengan pertambahan 1,007 kes dari 25 negara dengan majoritinya di Kanada (532), Sepanyol (131), Argentina (87), Australia (84) dan Jepun (31) serta satu kematian di Guatemala.
Dr Mohd Ismail berkata memandangkan ramai penuntut dari Amerika Syarikat dan Eropah akan pulang bercuti pada masa ini, aktiviti kawalan seperti saringan di pintu masuk negara telah dipertingkatkan.
"Kementerian Kesihatan sekali lagi ingin menegaskan dan meminta kerjasama kepada semua pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang ingin pulang bercuti semasa musim panas (di negara berkenaan), untuk menangguhkan perjalanan pulang sekiranya mereka mempunyai gejala-gejala jangkitan influenza," katanya.
Penuntut terbabit juga dinasihatkan agar mendapatkan rawatan terlebih dahulu sehingga sembuh sebelum pulang ke Malaysia dan melaporkan diri kepada pasukan perubatan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa jika mereka tidak sihat.
Beliau berkata mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza dalam masa tujuh hari selepas tiba di Malaysia, diminta segera ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bagi mengesan kontak kepada semua kes positif terbaru ini, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama penumpang, anak kapal dan kontak kes itu menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300 bagi membolehkan pihak berkenaan memberikan nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin rumah, katanya.

