BERITA

Jika Nik Aziz saran k'jaan perpaduan...

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Jul 2009, 6:32 pagi

Pengaruh Musyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sangat besar dalam PAS menjadi faktor PAS membatalkan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan Umno, kata seorang ahli akademik hari ini.

"Walau apapun pandangan orang terhadap Nik Abdul Aziz, hakikatnya beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam PAS," kata pensyarah dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Asri Salleh.

pas nik aziz speech 060609 03 Malah, katanya, ada pihak yang beritahu beliau yang "orang boleh kata apa saja tentang PAS tapi jangan sentuh Nik Aziz", lapor Bernama .

Beliau tidak menolak pendapat jika cadangan itu datang daripada menteri besar Kelantan sendiri, perbincangan PAS dengan Umno akan tetap berlangsung sekalipun dibantah DAP dan PKR.

Hakikatnya, kata beliau, apa juga motif PAS dalam perbincangan dengan Umno, hanya diketahui oleh mereka yang berkenaan.

Namun, katanya, yang pasti isu tersebut "meninggalkan parut" dalam pakatan pembangkang.

Cadangan mengadakan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan Umno dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut disokong oleh timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

PAS pegang kunci

Bagaimanapun, cadangan itu ditentang oleh Nik Aziz serta anggota Pakatan yang lain - PKR dan DAP.

Malah beliau pernah menggesa Nasharuddin supaya keluar dari PAS dan meletak jawatan ahli parlimen Bachok, sekiranya beliau masih menyokong kerajaan perpaduan dengan Umno.

Ekoran itu, mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat baru-baru ini menolak cadangan tersebut.

Sementara itu, Asri juga berpendapat, isu kerajaan perpaduan dengan Umno itu timbul mungkin kerana PAS mahu menguji kedudukannya dalam Pakatan Rakyat.

"Saya beranggapan ini strategi politik mereka. PAS melalui Abdul Hadi secara tidak langsung memberitahu Pakatan Rakyat bahawa PAS adalah parti dominan dalam pakatan, sebab pakatan itu bergantung kepada PAS.

"PAS tidak mempunyai masalah besar untuk berbincang dengan Umno, tapi bolehkah DAP atau PKR berbuat perkara yang sama?

"Jawapannya tidak, dan harus diingat di kebanyakan negeri Umno menang kerusi paling banyak berbanding komponen lain dalam BN," katanya.

Menurutnya lagi, PAS mungkin mempunyai kerusi parlimen paling sedikit iaitu 23 berbanding dua rakannya (DAP 28 kerusi, PKR 30), tetapi dari segi kedudukan di beberapa negeri, PAS yang memegang kunci.

"Di Selangor, tanpa PAS kerajaan pakatan akan bubar, dulu di Perak macam itu juga. Malah sekarang pun, kalau PAS kembali berbincang dengan Umno, pembangkang terpaksa gugurkan hasrat mereka untuk kembali berkuasa di Perak," katanya.

Sokongan bukan Islam

Asri juga berpandangan PAS menghantar mesej kepada DAP bahawa mereka tidak memerlukan parti itu untuk mendapat sokongan bukan Islam.

"Sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin kuat menerusi kelab penyokong parti itu.

"Malah mereka merancang untuk jadikan kelab itu sebagai salah satu sayap dan kalau ini yang berlaku sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin utuh.

"Itu sebabnya saya katakan PAS tidak perlukan DAP. Malah jika diperhatikan selepas ucapan Hadi di muktamar, DAP yang paling gusar, sehingga cepat-cepat mengeluarkan kenyataan membantah dan mahu pakatan duduk berbincang. Ini menunjukkan DAP yang perlukan mereka bukan sebaliknya," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Abdul Hadi ikhlas ketika mengadakan perbincangan mengenai perpaduan dengan Umno yang berlaku sejurus selepas pilihanraya umum lalu.

"Mungkin pada masa itu mereka melihat ada keperluan untuk orang Islam, dan apabila sebut Islam ini pastinya merujuk kepada Melayu bersatu, tetapi entah macam mana ia menjadi isu yang sudah di luar kawalan," katanya.

Sementara seorang lagi pemerhati politik, Prof Madya Dr Ghazali Mahyuddin berpandangan PAS hanya menurut suara majoriti dalam pakatan pembangkang, yang jelas tidak senang dengan gagasan kerajaan perpaduan itu.

"Bila ada pakatan kenalah ikut suara ramai, tak boleh sendiri-sendiri. Malah dari segi persahabatan, tindakan PAS juga tidak kena kerana tidak membincangkan terlebih dahulu dengan rakan sekutu," kata pensyarah sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.