Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

Ahli parlimen Padang Serai dari PKR, N Gobalakrishnan mendapat ancaman bunuh melalui dua kiriman SMS awal pagi ini dan menggesa pihak polis menyiasatnya dengan segera.

Katanya, SMS ancaman bunuh itu dihantar kepadanya melalui telefon bimbitnya pada jam 12.47 pagi dan 6.48 pagi ini.

gobala show death threat 010709 01 Bercakap kepada pemberita, Gobalakrishnan berkata, ia tidak mungkin SMS main-main kerana pengirimnya mengulangi ancaman bunuh ke atasnya.

Beliau kini menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur kerana menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Gobalakrishnan berkata, ini adalah kali pertama beliau menerima ancaman bunuh.

"Saya tidak tahu siapa yang menghantarnya tetapi saya mahu polis menyiasat segera ancaman tersebut," katanya.

Pihak polis telah datang ke Parlimen untuk mengambil laporan daripada Gobalakrishnan, yang juga ahli Majlis Kepimpinan Pusat (MPP).

Hisham beri jaminan

SMS pertama memberi amaran kepada Gobalakrishan bahawa pengirimnya tahu kereta rasminya dan mengancam untuk menembaknya.

SMS itu juga mengingatkannya tentang pembunuhan bekas ADUN Lunas, Joe Fernandez pada November 2000.

SMS kedua pula mengulangi ancaman yang sama dan memberi amaran kepada Gobalakrishnan supaya tidak melaporkan ancaman itu kepada polis.

Gobalakrishnan berkata, beliau memandangkan serius perkara itu dan mengulangi gesaannya supaya polis segera mencari pengirim SMS tersebut.

"Mereka mesti menjamin keselamatan saya jika mereka tidak mahu lagi pilihanraya kecil diadakan," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Minister Hishammuddin Hussein berkata, polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya telah memberi jaminan kepada beliau bahawa tindakan akan diambil untuk menjamin keselamatan beliau," katanya kepada pemberita di Parlimen.