Perdana menteri akan mengumumkan Bidang Keputusan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara yang akan menjadi keutamaan kerajaan dalam masa terdekat.

"(KRA dan KPI) ini merupakan satu pendekatan yang akan memberi nafas baru dalam usaha kita membawa negara ke tahap yang lebih berjaya lagi," kata Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

Menurut Bernama , beliau hari ini bagaimanapun tidak bercadang menghuraikan apa yang termaktub sebagai KRA dan KPI, yang akan menjadi kaedah pembaharuan dalam cara untuk mentadbir negara beberapa tahun akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib mahu perkongsian di antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk menjayakan agenda negara.

Selain pentingnya perkongsian di antara sektor awam dan sektor swasta, beliau berkata perkongsian di antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam perlu mantap dan serasi kerana yang akan mendapat faedah ialah rakyat dan negara.