Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyokong PAS ditahan polis, disyaki cederakan Puteri
Diterbitkan:  Jul 14, 2009 3:48 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Seorang penyokong PAS ditahan polis setelah disyaki terbabit dalam insiden membaling batu ke arah penyokong BN sehingga mencederakan dua anggota Puteri Umno di SK Peria hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengahari ketika penyokong kedua-dua parti berkumpul di tempat pengundian itu dan satu provokasi telah dilakukan oleh penyokong-penyokong PAS sehingga mencetuskan ketegangan, lapor Bernama .

"Sedikit pertelingkahan antara penyokong-penyokong PAS berlaku dengan penyokong BN sehingga mencetuskan kejadian membaling batu.

"Akibat kejadian itu dua ahli Puteri Umno cedera (bengkak) di pinggang, manakala seorang lagi patah giginya akibat terkena balingan batu," beliau dipetik berkata dalam sidang media di Laloh.

Berikutan kejadian itu, katanya, polis telah menahan seorang lelaki di

tempat kejadian yang merupakan penyokong PAS dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Musa berkata kedua-dua mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut. Berikutan itu satu laporan polis telah dibuat.

"Kita memberi jaminan tindakan mahkamah akan diambil dengan segera," katanya.

Menurut agensi berita itu lagi, mengulas sikap penyokong yang mengibarkan bendera pada kenderaan, Musa berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi supaya mengenakan tindakan saman terhadap mereka berkenaan.

Tambahnya, tindakan itu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, selain diri sendiri kerana bendera bersaiz besar pada kenderaan boleh menghalang penglihatan pemandu.

"Tindakan mengibar bendera itu juga boleh mencetuskan provokasi kepada penyokong parti lain dan boleh menyebabkan ketegangan sehingga berlaku kejadian tidak diingini," Musa dilaporkan berkata.

Bagaimanapun, Musa berkata secara keseluruhan perjalanan proses pengundian di kawasan DUN itu berjalan lancar.

Wartawan Malaysiakini: Kuek Ser Kuang Keng, Hafiz Yatim, Jimadie Shah Othman, Wong Teck Chi, Ng Kok Fong dan Amiruddin Abdullah.

ADS