Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Isu Teoh dipolitik untuk alih perhatian rakyat
Diterbitkan:  Jul 19, 2009 9:11 AM
Dikemaskini: 9:13 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kematian Teoh Beng Hock - setiausaha politik anggota exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - telah dipolitikkan oleh pihak pembangkang untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas wakil rakyat mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata isu kematian itu dipolitikkan semasa SPRM sedang menyiasat ADUN Pakatan Rakyat berhubung dengan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri yang diagihkan kepada wakil rakyat.

NONE Katanya, siasatan ke atas ADUN Pakatan berhubung dakwaan salahguna peruntukan tersebut, mungkin menunjukkan mereka juga tidak lepas daripada melakukan kesilapan, lapor Bernama.

Berucap semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Tanjung Karang hari ini, Muhyiddin berkata:

"Penting bagi kita mengatur langkah dan strategi yang perlu dibuat apabila pakatan pembangkang tidak mempunyai ikatan yang jitu. Oleh itu, anggota BN perlu mengambil peluang itu bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada BN," katanya.

Mayat Teo, 30, ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada kira-kira 1.30 tengah hari Khamis lalu. Beliau merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata adalah penting bagi parti komponen BN untuk memperbaiki diri mereka supaya tidak dilihat lemah kerana berbalah sesama sendiri dan tidak diyakini kemampuan mereka untuk membela nasib kaum yang diwakili mereka.

Oleh itu, kelemahan-kelemahan ini perlu diatasi untuk memulihkan kembali imej BN, katanya.

Muhyiddin berkata selain daripada isu politik, Kerajaan BN juga menghadapi beberapa cabaran seperti ekonomi dan pendidikan yang turut dipolitikkan terutamanya soal pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris yang akan dimansuhkan pada 2012.

"Keputusan kerajaan mansuhkan PPSMI ...banyak politik yang sedang berlaku, ramai yang setuju tetapi ada yang tidak setuju. Keputusan kita adalah jelas, kita buat (keputusan) atas kajian yang dijalankan sekian lama," katanya.

Dalam kajian itu, katanya, jelas pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu tidak meningkatkan penguasaan pelajar di dalam Bahasa Inggeris, katanya.

Oleh itu, Muhyiddin berkata beliau berharap ahli Umno akan menyokong usaha kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuh Bahasa Inggeris yang merupakan keputusan terbaik untuk generasi muda di dalam negara tanpa mengira bangsa.

ADS