'Jangan putar belit fakta kematian Teoh'
kemaskini 2.34pm Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan semua pihak supaya jangan memutarbelitkan fakta berhubung kematian Teoh Beng Hock Khamis lalu.
Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah itu ditemui mati Khamis lalu beberapa jam selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor.
"Jangan kita putarbelitkan fakta. Kita sedang jalankan siasatan, kalau nak tuduh tanpa berdasarkan siasatan, saya rasa itu tidak betul," katanya kepada pihak media pagi ini.
Musa ditemui di kompleks Bunga Raya, lapangan terbang antarabangsa KLIA ketika sedang menunggu kepulangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi ini.
Ditanya tindakan polis jika ada pihak memutarbelitkan fakta, beliau berkata: "Dalam memfitnah, menghasut orang, kita akan ambil tindakan."
"Kita akan siasat dulu, kita akan ambil tindakan mengikut fakta siasatan."
Ditanya sama ada kematian Teoh menimbul ketegangan dalam masyarakat, Musa berkata:
"Keadaan biasa, tidak tegang, tetapi kalau ada yang cuba buat tegang, kita akan ambil tindakan."
Ditanya mengenai komponen tingkap yang ditemui polis di tempat Teoh ditemui mati, Musa berkata: "Kita sedang siasat".
Beliau berkata, siasatan terhadap kematian Teoh masih 60 peratus.
Selepas pertemuan Musa lebih kurang 45 minit bersama Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin di kompleks berkenaan, perdana menteri tidak mengadakan sidang akhbar walaupun kira-kira 30 wartawan dan jurufoto menantinya pulang dari lawatan ke Timur Tengah selama seminggu.

