Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
H1N1: Dua lagi dimasukkan ke ICU
Diterbitkan:  Jul 31, 2009 8:38 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Jumlah mereka yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) meningkat dua orang lagi, menjadikan sembilan, hari ini akibat jangkitan wabak selesema A (H1N1).

Tiga daripada tujuh orang yang dibawa ke ICU telah dipindah keluar ke wad pengasingan tetapi lima lagi dimasukkan unit itu kerana mengalami komplikasi.

"Oleh itu menjadikan jumlah kes yang berada di ICU seramai sembilan orang, antaranya dua remaja obes, seorang wanita hamil dan seorang lagi imuniti rendah," kata ketua pengarah kesihatan.

Dalam kenyataan hariannya, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican turut berpesan kepada mereka yang berisiko tinggi - masalah kegemukan, kencing manis, penyakit paru-­paru kronik dan daya imuniti rendah - agar segera ke hospital untuk pemeriksaan jika mengalami tanda-­tanda jangkitan selesema A (H1N1).

"Begitu juga mereka yang mendapat jangkitan influenza yang berkomplikasi (pneumonia, sesak nafas dan lain-­lain).

"Mereka ini perlu mendapatkan rawatan di hospital di mana ujian swab tekak akan dilakukan sebelum rawatan antivirus influenza dimulakan," katanya.

Pengamal perubatan kerajaan dan swasta diminta memberi perhatian kepada kes-­kes radang paru-paru yang teruk atau berkomplikasi agar pemeriksaan swab tekak diberikan keutamaan supaya rawatan awal dapat dimulakan dan komplikasi teruk dapat dielakkan, tambah Dr Mohd Ismail.

Sejumlah 69 kes baru influenza A (H1N1) dilaporkan - semua kes jangkitan tempatan kecuali seorang warga China yang belajar di negara ini.

Sebanyak 53 kes daripada jumlah terkini itu dari 15 gugusan penularan baru, sembilan lagi kejadian dari satu gugusan sedia ada dan selebihnya kes terpencil.

Jumlah terkumpul influenza A (H1N1) di negara ini 1,371 kes termasuk empat kematian.

Sebanyak 21 kes sedang menerima rawatan antivirus di hospital, termasuk sembilan di ICU. Sembilan orang lagi menerima rawatan antivirus di rumah.

ADS