Penduduk: Kami tidak akan berganjak
Penduduk Kampung Buah Pala tidak akan berganjak daripada kampung tersebut, kata penolong Sstiausaha pertubuhan penduduk kampung berkenaan, C.Tharmaraj.
"Kami akan tetap berada di sini. Kami mahukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya menggunakan kuasa eksekutifnya untuk mengambil balik tanah kampung berkenaan," katanya.
Tharmaraj memberitahu pemberita demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Lim di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini, lapor Bernama.
Memorandum tersebut yang menggesa agar tanah berkenaan dikembalikan semula kepada penduduk, diserahkan kepada Setiausaha Politik Lim, Ng Wei Aik.
Kira-kira 200 orang termasuk penduduk kampung berkenaan turut berhimpun di perkarangan Komtar.
Thamaraj berkata penduduk Kampung Buah Pala juga mahu Lim menunaikan janjinya termasuk menyerahkan semula tanah itu kepada mereka.
"Sebelum ini pelbagai janji yang beliau taburkan kepada kita dan sekarang ini penduduk hanya mahu Lim tunaikannya secepat mungkin kerana kami tidak mahu kehilangan tanah yang kami duduk sejak 200 tahun lepas," katanya.
Sebelum ini, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KPKPP) memberi tempoh sehari lagi kepada penduduk untuk berpindah.
Kerja meroboh rumah di situ sepatutnya dilakukan hari ini, ditunda sehingga esok untuk memberi tempoh sehari lagi kepada penduduk untuk berpindah.
Pengerusi KPKPP, Abdul Razak Mansor berkata kawasan itu sepatutnya dirobohkan hari ini, bagaimanapun atas dasar simpati dan kemanusian, pihaknya memberi tempoh sehari lagi bagi penduduk kampung berkenaan memindahkan barang mereka.

