Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
H1N1: Satu atau dua lagi mati?
Diterbitkan:  Aug 7, 2009 6:08 PM
Dikemaskini: 6:28 PM

dikemaskini Angka kematian akibat wabak selesema A (H1N1) terus meningkat apabila seorang lagi disahkan meninggal dunia hari ini.

Sementara Oriental Daily dalam khidmat berita ringkas melalu mesej SMS menyebut dua orang menjadi korban virus wabak itu.

Seorang kanak-kanak 9 tahun dan lelaki 37 tahun dilaporkan meninggal di Hospital Kluang, Johor.

Semalam 14 orang dilaporkan menjadi korban virus pandemik itu - sehingga kini belum ditemui vaksin.

Seorang lelaki 57 tahun menjadi korban ke-14 dan kanak-kanak enam tahun pula ke-13 sejak dua minggu lalu.

Dalam kenyataan hariannya, ketua pengarah kesihatan mengesahkan laporan media berhubung seorang OKT (orang kena tahan) lelaki 35 tahun di depot imigresen KLIA di Sepang.

"OKT ini telah didapati mati di sel tahanannya pada pagi 30 Julai lalu dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Mengikut maklumat daripada penjaga depot, OKT tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda sakit, atau mengadu demam, batuk dan selesema sepanjang berada di depot tersebut sejak November 2008," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Tambahnya, keputusan palitan tekak pada 31 Julai (selepas kematian) didapati positif H1N1, nama penyebab sebenar kematian belum dapat dimuktamadkan kerana menunggu keputusan ujian kimia.

"Laporan dijangka dapat disiapkan menjelang pertengahan minggu depan," katanya lagi.

Hari ini, 33 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan - sesemuanya jangkitan tempatan di kalangan rakyat tempatan.

Sebanyak 28 kes merupakan kejadian dari sembilan gugusan baru penularan wabak, dan selebihnya kes terpencil.

"Terdapat satu (lagi) kes kematian dilaporkan pada 6 Ogos dan ia adalah kes sporadik," kata Dr Mohd Ismail.

Sehingga kini, keseluruhannya 1,525 kes dengan 15 kematian, termasuk 14 orang yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada jumlah besar itu, 951 kes atau 62 peratus jangkitan tempatan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, semua klinik serta hospital termasuk milik swasta kini digalak menggunakan pemeriksaan saringan influenza pantas bagi tiap simptom seperti selesema untuk mereka yang memohon berbuat demikian - sebahagian strategi tambahan mengawal penularan wabak.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik berkata ujian berkenaan seharusnya dibuat sebaik sahaja simptom itu mula dikesan.

"Semua kes-kes positif influenza A kini boleh dirawat dengan antivirus (oseltamivir). Malah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesyorkan penggunaan pemeriksaan pantas ini dalam membantu keputusan klinikal, dan bagi penyaringan segera wabak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, ketepatan ujian itu hanya sekitar 70 hingga 75 peratus, dan pesakit yang disahkan negatif dalam ujian berkenaan masih dinasihati mengambil segala langkah berjaga-jaga dan mendapatkan rawatan lanjut sekiranya keadaan bertambah serius.

Beliau berkata semua klinik dan hospital itu juga boleh merawat pesakit yang disyaki dijangkiti influenza A(H1N1) dengan oseltamivir.

"Bagaimanapun bagi yang mengalami masalah kesihatan yang bertambah serius, mereka seharusnya dirujuk kepada hospital untuk rawatan," Liow dipetik berkata.

Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan tidak akan meneruskan laporan harian mengenai jumlah pemeriksaan dan kes-kes disahkan dalam negara kerana ia tidak lagi memberikan gambaran mengenai keadaan sebenar jangkitan itu dalam negara.

Liow berkata ini kerana WHO sendiri tidak lagi meminta negara-negara terbabit membuat pemeriksaan dan laporan kes-kes individu memandangkan laporan berkenaan tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar akar umbi.

Beliau berkata bagaimanapun kementerian Kesihatan akan terus melaporkan jumlah kes-kes yang dibawa ke hospital untuk rawatan sebagai pesakit luar dan jumlah kematian supaya orang ramai akan sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini jangkitan dalam negara.

ADS