TPM: Boleh terus belajar sains, matematik dalam BI
Pelajar yang memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) boleh terus berbuat demikian sehingga mereka menamatkan pendidikan sekolah menengah mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga menteri pelajaranberkata isu itu turut dibangkitkan oleh rakannya dalam Kabinet dan beliau mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan mengenainya.
"Kami membincangkan perkara itu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja lima hari beliau ke Perth yang berakhir hari ini, lapor Bernama.
Muhyiddin berkata pelajar yang mula belajar kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris akan terus diajar dalam bahasa itu, dan mempunyai pilihan dan kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan sama ada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
"Mereka (ibu bapa) tidak perlu bimbang," katanya.
"Saya mahu memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bimbang. Kami mengguna pakai pendekatan berlembut...memberi peluang untuk bergerak secara perlahan-lahan ke dalam sistem baru," katanya.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan perubahan terhadap PPSMI dengan kembali kepada dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing dari 2012.
Dasar PPSMI dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Enam Rendah pada 2003, di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

