Dua pegawai polis dari ibupejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini mengambil kenyataan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Anthony Loke di pejabatnya di pusat khidmat DUN Lobak di Seremban.

nscah talk 090606 loke siew fook Loke ( kanan ) yang juga ahli parlimen Rasah dan ADUN Lobak berkata , mereka terdiri daripada Supt Victor Sanjos dan dibantu oleh ASP Hazizi A Samad dari unit siasatan perisian komputer, bahagian siasatan jenayah siber dan multimedia.

"Mereka datang ke pejabat saya pada kira-kira pukul 10 pagi dan mengambil kenyataan percakapan saya selama dua setengah jam.

"Kedua-dua pegawai polis itu mengambil kenyataan saya sebagai seorang saksi. Peguam Siow Kim Leong yang merupakan pengerusi biro guaman DAP, turut bersama semasa kenyataan percakapan saya diambil," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kenyataannya diambil ekoran beliau membuat laporan di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur Isnin lalu, menafikan beliau mengeluarkan perkataan atau ayat yang menghina agama Islam dan Sultan Perak.

"Di sini, sekali lagi saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan itu ditulis oleh saya.

"Saya tidak pernah menulis apa-apa yang menghina agama Islam atau pun Sultan Perak," katanya. BERNAMA