Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai penyiasat diarah siasat dokumen Teoh
Diterbitkan:  Aug 25, 2009 6:19 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Mahkamah Koroner hari ini mengarahkan pegawai penyiasat kes kematian Teoh Beng Hock menyiasat empat dokumen dan rakaman percakapan mangsa ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, 16 Julai lepas.

Empat dokumen terbabit ialah sebut harga dari empat syarikat kontraktor Kelas F bumiputera yang dicetak dari komputer riba milik Teoh berhubung tuntutan majikan mangsa, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah.

Koroner Azmil Muntapha Abas mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa yang turut disokong semua pihak lain.

Terdahulu, Abdul Razak berkata permohonan itu dibuat memandangkan isu berhubung rakaman percakapan Teoh semasa disoal siasat SPRM adalah isu baru dalam siasatan polis pada prosiding inkues.

"Atas dasar itu saya pohon koroner supaya mengarahkan pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal untuk ambil tindakan selanjutnya, setakat mana relevan dokumen yang ditunjukkan bersama dengan rakaman percakapan mangsa, untuk disiasat sama ada ia relevan dengan punca kematian si mati.

"Pohon koroner arah pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap hasil siasatan SPRM yang melibatkan mangsa sahaja," katanya.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh berkata beliau telah menghubungi Ean bagi memaklumkan perkembangan terbaru itu.

"Saya dimaklumkan beliau (Ean) memerlukan sedikit masa untuk peguamnya hadir mewakili beliau ketika isu (rakaman percakapan) dibangkitkan di mahkamah nanti.

"Pada pendapat saya memandangkan isu yang akan dibangkitkan melibatkan Teoh dalam kapasitinya sebagai setiausaha politik Ean, maka demi keadilan lebih elok jika beliau (Ean) diberi peluang untuk diwakili peguam," katanya.

Dalam prosiding pagi tadi, Gobind membantah rakaman percakapan Teoh yang dibuat pukul 1.30 pagi sehingga 3.30 pagi, 16 Julai oleh pegawai SPRM Mohd Nadzri Ibrahim, dikemukakan dalam prosiding itu atas alasan kenyataan itu adalah prejudis dan mungkin bukan dibuat secara sukarela oleh mangsa.

Bagaimanapun Abdul Razak berkata rakaman percakapan itu boleh membantu mahkamah untuk menunjukkan keadaan fikiran mangsa selepas membuat beberapa pendedahan kepada SPRM sehingga membawa kepada kematiannya pada hari yang sama.

Teoh, 30, ditemui mati 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu. Inkues bersambung esok. BERNAMA

ADS