Seorang ibu bersama anak lelakinya berusia dua tahun mati lemas selepas kereta pacuan empat roda yang mereka naiki dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Tongod di Jalan Sapi Nangoh kira-kita 157 kilometer dari Sandakan semalam.

Lina, 35, seorang warga Indonesia sedang dalam perjalanan membawa anaknya yang sakit ke sebuah klinik kesihatan bila kejadian itu berlaku.

Pemandu kereta itu, pengurus sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Tongod, yang berusia lingkungan 40-an berjaya menyelamatkan diri.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.18 pagi dan lokasi kejadian yang jauh dari sini menyebabkan anggota bomba hanya tiba di situ

pada pukul 1 petang.

Operasi mencari dan menyelamat kemudian dilakukan dan dua mangsa yang lemas akibat terperangkap di dalam kereta itu hanya berjaya dikeluarkan pada kira-kira pukul 4.50 petang, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, laluan menyeberangi sungai itu menjadi laluan biasa yang digunakan dari ladang kelapa sawit Ulu Tongod itu untuk pergi ke klinik kesihatan berhampiran. BERNAMA