NGO persoal punca tiga pesuruhjaya Suhakam tidak dilantik semula
Sebanyak 28 badan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan tidak melantik semula tiga pesuruhjaya Suhakam walaupun mereka tidak melanggarkan sebarang peraturan dalam Akta Suhakam yang membolehkan perkhidmatan mereka ditamatkan.
Oleh itu, mereka menggesa supaya pesuruhjaya berkenaan dilantik semula secepat mungkin demi menjaga namabaik, ketulusan, dan kebebasan Suhakam. Ketiga-tiga pesuruhjaya Suhakam yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka ialah Tan Sri Anuar Zainal Abidin, Mehrun Siraj dan Dr Salleh Mohd Noor.
Gesaan itu terkandung dalam kenyataan bersama 28 NGO dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang dikeluarkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini.
Yang lainnya termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Aliran, Amnesty International Malaysia, Sisters In Islam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) dan Institut Kajian Dasar (IKD).
Menurut kenyataan itu lagi, Seksyen 10(d) dalam Akta Suhakam 1999 menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas perakuan Perdana Menteri, boleh menamatkan perkhidmatan pesuruhjaya Suhakam, jika diisytiharkan muflis oleh mahkamah dan tidak berkemampuan di segi fizikal dan mental untuk terus berkhidmat.
Seksyen itu juga menyebut perkhidmatan pesuruhjaya Suhakam boleh ditamatkan sekiranya terbabit dalam perkhidmatan lain yang boleh menjejaskan tugasnya sebagai pesuruhjaya, melakukan salahlaku sehingga boleh menjejaskan nama baik suruhanjaya berkenaan, atau bertindak bertentangan dengan Akta Suhakam 1999.
Buktikan salahlaku
Memandangkan ketiga-tiga pesuruhjaya berkenaan tidak melanggar sebarang peruntukan di atas, maka kami mempersoalkan alasan mengapa perkhidmatan mereka dalam Suhakam tidak disambung semula.
Kami telahpun menyuarakan sebelum ini, bahawa keputusan untuk tidak melantik semula suruhanya Suhakam hanya boleh dilakukan apabila terbukti berlakunya salahlaku, bagi mengelak campurtangan kerajaan melalui ugutan ditamat perkhidmatan, pertukaran atau penurunan pangkat.
Malah, walaupun menghadapi pelbagai batasan dan campurtangan politik, pesuruhjaya berkenaan telah memainkan peranan besar dalam memperjuangkan hak asasi manusia, terutama yang menyentuh soal kebebasan umum, penduduk asal dan reformasi perundangan.
Hakikat bahawa umum telah menerimabaik prestasi Suhakam, mencerminkan keupayaan ketiga-tiga persuruhjaya itu melaksanakan tugas mereka dengan baik. Oleh itu, kami percaya tiada wujud sebarang alasan untuk menamatkan perkhidmatan mereka, kata kenyataan itu lagi.
Mereka juga mempersoalkan faktor tersembunyi di sebalik keputusan tidak menyambung perkhidmatan ketiga-tiga suruhanjaya berkenaan dan menegaskan bahawa tindakan menamatkan perkhidmatan ketiga-tiga pesuruhjaya itu sebagai menyerang kebebasan Suhakam.
Malah sebelum ini, kata kenyataan itu lagi, masyarakat Malaysia telahpun menyuarakan keprihatinan mereka, antaranya mengenai aspek kebebasan Suhakam, proses pemilihan pesuruhjayanya, dan tempoh perkhidmatan dua tahun, yang dianggap terlalu singkat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.