'Selesai kontroversi kuil tanpa libatkan politik'

       

Persatuan Penduduk Seksyen 23 Shah Alam menggesa agar kontroversi pemindahan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke kawasan mereka diselesaikan dengan baik tanpa melibatkan anasir politik yang berkepentingan.

"Kita sudah lama hidup aman damai di sini. Kita tidak mahu ada yang rosakkan perpaduan sesama kita," kata pengerusinya Zainudin Md Yusuff.

"Minta (semua pihak) hindarkan anasir politik. Jangan libatkan anasir politik," katanya ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Beliau mengulas bantahan sekumpulan penduduk dan NGO Melayu yang menentang pembinaan kuil di kawasan tersebut.

Kumpulan itu juga mengarak kepala lembu dalam demonstrasi di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK ) Selangor, Shah Alam pada Jumaat lalu.

Ketika ditemui di kediamannya hari ini, Zainudin, 69, meminta penduduk setempat memberikan kerjasama dan menyatakan pendirian mereka melalui saluran yang disediakan.

"Minta semua buat kerja masing-masing. Kalau esok (majlis) bandaraya panggil, kita pergi. Beritahu pendirian kita. Kalau hendak (kuil), kata ya. Kalau tak hendak, kata tidak.

"Ini tidak, libatkan anasir politik. Kita jangan tuduh-tuduh, jangan fitnah memfitnah," kata Zainudin yang juga seorang pesara guru.

Ditubuhkan bagi menjaga kebajikan penduduk, Persatuan Penduduk Seksyen 23 menaungi lebih 300 keluarga di kawasan perumahan teres dua tinggkat di fasa 1 dan fasa 2 kawasan terbabit.

Kawasan perumbahan Seksyen 23 mempunyai 337 penduduk, termasuk 40 keluarga India, 20 keluarga Cina dan selebihnya Melayu.

Malaysiakini
terkini untuk anda