KDSD akan beri kerjasama
Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) menyifatkan tindakan pembekuan akaun syarikat pemaju Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebagai sebahagian daripada proses penyiasatan berhubung isu PKFZ.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
"KDSB mengesahkan laporan bahawa beberapa akaunnya telahpun dibekukan. Akaun-akaun itu dibekukan lewat petang semalam," kata Faizal dalam satu kenyataan petang ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak senang dengan laporan akhbar The Star online hari ini yang mendedahkan maklumat sulit dan terperinci yang terkandung dalam perintah pembekuan tersebut.
Katanya, ini memandangkan perkara itu, yang masih dalam penyiasatan, adalah antara pihak polis dan KDSB.
Faizal juga berkata, KDSB sedang mendapatkan nasihat tentang kesahan perintah pembekuan tersebut.

