Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada tindakan pada tapak Pewaris di sebelah kuil Seksyen 19

kemaskini 5.14pm Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap tapak gelanggang Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di sebelah kuil Seksyen 19 walaupun ia didirikan tanpa kebenaran.

Seorang ahli majlis Mohd Harris Abu Bakar berkata, walaupun MBSA mengetahui tapak berkenaan dibina secara haram, majlis itu tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya demi menjaga kerukunan di kejiranan berkenaan.

NONE Kecenderungan berlaku ketegangan di kalangan penduduk di seksyen berkenaan sejak awal tahun ini – selepas majlis perasmian tapak gabungan NGO Melayu itu – menyebabkan MBSA perlu mengambil pendekatan sedemikian, tambahnya.

Jelasnya lagi, pihak majis terpaksa beralah dan menganggap tapak yang dibina oleh Pewaris itu sebagai tapak sementara sebelum satu kawasan yang lebih sesuai dikenalpasti.

"Pagar (tapak gelanggang) itu mereka dirikan sendiri tanpa kebenaran MBSA. Tidak ada kelulusan rasmi dari pihak kita.

"Kalau nak robohkan pagar itu, Pewaris mahu kita robohkan kuil juga. Susahlah bila mereka mainkan sentimen seperti itu. Jadi kita biarkan dulu.

"Ini adalah sementara sahaja, bukan kekal. Tanah kuil di Seksyen 19 akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selepas selesai urusan pemindahan kuil ke tapak baru termasuk kawasan yang digunakan oleh Pewaris," katanya lagi.

NONE Mohd Harris diminta mengulas tuduh-menuduh isu kesesakan lalulintas di Seksyen 19 susulan kewujudan sebuah kuil dan tapak gelanggang Pewaris seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.

Aduan-aduan yang diterima daripada segelintir penduduk di situ berhubung rasa tidak senang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan Pewaris di kawasan tersebut, katanya lagi.

"Setakat ini tidak ada terima apa-apa aduan tentang itu, cuma penduduk India di situ yang banyak buat aduan kepada kita, tetapi mereka banyak bersabar dan ikut nasihat kita," katanya.

NONE Mohd Harris – turut mengetuai Majlis Perwakilan Penduduk Zon 7 Shah Alam yang meliputi Seksyen 19 – juga menjelaskan, aduan tersebut berkaitan satu upacara anjuran Pewaris di kawasan tersebut awal tahun ini.

"Majlis sembelih lembu itu diadakan pada tarikh yang sama (10 Januari) dengan satu upacara sembahyang di kuil.

"Jadi kita nasihatkan mereka (pihak kuil) supaya tidak jalankan upacara sembahyang sebab kita takut bertembung. Mereka ikut nasihat kita," kata ahli majlis MBSA itu lagi.

"Kita buat juga pemantauan pada hari berkenaan untuk mengelakkan mereka bertembung dan hal yang tidak baik."

Mengulas mengenai status tanah yang menempatkan kuil dan tapak gelanggang Pewaris itu, beliau menjelaskan kedua-dua milik PKNS.

"Tanah itu boleh didirikan rumah atau dijadikan taman rekreasi, sebab di sekitar kawasan tersebut memang tidak ada taman rekreasi," tambahnya.

Kuil di Seksyen 19 dirancang untuk dipindahkan ke Seksyen 23 tetapi cadangan itu dibantah keras sekumpulan penduduk sehingga menjadi kontroversi besar - susulan demonstrasi dengan membawa kepala lembu 28 Ogos lalu dan kekecohan sesi dialog dengan kerajaan Selangor, 5 September lepas.

ADS